Penjaga, yang kebanyakannya anggota keluarga, menggalas peranan utama dalam pemulihan bekas pesalah.
Justeru, mereka harus diberikan sokongan jitu untuk melaksanakan peranan tersebut dengan sebaik-baiknya, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
“Penjaga, yang kebanyakannya ahli keluarga, memainkan peranan yang sangat penting dalam proses pemulihan dan reintegrasi.
“Dengan bekerjasama dan merapatkan jurang mengenai cara mengendalikan proses pemulihan dan reintegrasi, kita dapat memberikan mereka panduan dan pengetahuan tentang proses pemulihan dan reintegrasi, sekali gus memberikan mereka pemahaman yang lebih baik,” ujar Dr Faishal.
Beliau berkata demikian apabila ditemui Berita Harian (BH) di acara ‘Fund the Fight Fiesta SG60’ yang diadakan di Kelab Masyarakat Kampong Ubi pada 16 Ogos.
Acara tersebut dijayakan oleh sekumpulan bekas pesalah, yang turut bertujuan untuk menunjukkan penghargaan kepada individu yang menghidap masalah kesihatan mental dan demensia, serta bekas banduan yang kini memikul peranan sebagai penjaga.
Hadir sebagai tetamu terhormat, Dr Faishal memuji usaha mereka dalam menganjurkan acara tersebut dan menambah ia adalah isyarat yang sangat kuat dalam mengatasi stigma bekas pesalah untuk menyertai semula masyarakat.
“Acara ini diadakan buat kali pertama, yang mana anda dapat lihat sumbangan secara nyata daripada golongan bekas pesalah, bukan sahaja untuk mengucapkan terima kasih kepada Singapura atas sokongan yang telah diberikan kepada mereka dan keluarga mereka, malah untuk meraikan ulang tahun ke-60 Singapura (SG60).
“Ia juga menunjukkan bahawa mereka secara kolektif mempunyai peluang, wadah dan keinginan untuk menyumbang kepada pembangunan Singapura,” tambah beliau.
Fiesta itu dianjurkan bersama enam kumpulan sokongan ‘desistor’ – istilah yang digunakan untuk bekas pesalah yang tidak melakukan jenayah selepas dibebaskan.
Ini termasuk kumpulan Agents of Change, Goal Aspiration, HUFI, Nisa’ Hope Network, POPWOW GEMS dan RSG Limited.
Fiesta sempena SG60 itu juga bertujuan mengumpul dana bagi memerangi dadah dan menjadikan Singapura sebagai negara bebas dadah.
Pelbagai kegiatan disediakan antaranya jualan makan dan minum, pasar barangan terpakai, khidmat gunting rambut, serta permainan bola sepak dan boling.
Hasil daripada acara tersebut akan disalurkan kepada tabung amal untuk Mindfull Community bagi menyokong kesejahteraan mental.
Dikenali sebagai Caregivers Alliance Limited sebelum ini, Mindfull Community beroperasi bersama rakan kongsi dalam pelbagai bidang.
Ini termasuk kesihatan, pendidikan, masyarakat dan korporat untuk memberi penjaga, belia dan individu dalam kesusahan mendapat akses kepada pendidikan praktikal, sokongan daripada daripada mereka yang mengalami pengalaman serupa, dan bimbingan, tanpa menghadapi stigma.
Bercakap kepada BH, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mindfull Community, Encik Tim Oei, berkata dana yang dikumpulkan akan meningkatkan daya usaha teras organisasi, sekali gus memberi impak kepada kesejahteraan masyarakat.
“Acara hari ini amat bermakna bagi Mindfull kerana ia secara langsung menyokong misi kami untuk membantu penjaga kesihatan mental dan penerima penjagaan, sambil mempromosikan peluang kedua dan masa depan bebas dadah.
“Sebagai benefisiari tunggal, semua hasil acara ini akan memperkasa program teras kami, membolehkan kami memperluas sokongan, meningkatkan sumber dan menguatkan usaha sedemikian,” katanya.
Menambah, Encik Oei berkata dana itu juga penting bagi menghargai dan menyokong penjaga warga emas yang sering diabaikan, supaya mereka dapat terus menjalankan tanggungjawab mereka dalam keadaan keperluan yang meningkat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg