Topik diikuti
Pergi ke BHkuRumah Terbuka Istana papar pekerjaan inklusif buat kali pertama
Acara berlangsung sempena Deepavali
Rumah Terbuka Istana papar pekerjaan inklusif buat kali pertama
Usaha menggajikan golongan kurang upaya serta kelompok mudah terdedah menjadi tumpuan di Rumah Terbuka Istana, yang berlangsung pada 1 November sempena sambutan Deepavali.
Langkah tersebut merupakan kali pertama rumah terbuka itu – yang kebiasaannya menumpukan kepada persembahan secara langsung dan kegiatan keluarga – mengetengahkan usaha sedemikian.
Di acara tersebut, para pengunjung berpeluang mendalami cabaran yang dihadapi golongan yang memerlukan bantuan serta halangan pekerjaan bagi pencari kerja berkenaan.
Turut hadir ialah Presiden Tharman Shanmugaratnam dan isterinya, Puan Jane Ittogi, yang berinteraksi dengan pelbagai pertubuhan masyarakat serta majikan inklusif di reruai pameran.
Antara badan yang terlibat termasuk perusahaan sosial Inclus, yang membantu golongan kurang upaya mendapatkan pekerjaan bermakna, serta New Hope Community Services yang menyediakan tempat perlindungan dan sokongan pekerjaan bagi mereka yang serba kekurangan.
New Hope misalnya, bekerjasama dengan dua hotel – Novotel Singapore on Stevens dan Mercure Singapore on Stevens – bagi membuka peluang pekerjaan kepada individu terjejas.
Pengarah Serantau Bakat dan Budaya di kedua-dua hotel tersebut, Encik Leslie Lenus, berkata pihak hotel meneliti keperluan setiap tugas dan memadankannya dengan kekuatan individu, berbanding mencari calon yang sempurna semata-mata.
Pihak hotel turut menstrukturkan peranan kepada tugasan yang lebih terurus, di samping menyediakan program bimbingan penyesuaian yang teratur, rutin tekal serta pemantauan berterusan daripada penyelia dan rakan sekerja.
“Pengambilan pekerja secara inklusif bukan bermakna menurunkan piawaian. Pekerja inklusif tetap dinilai berdasarkan jangkaan prestasi dan mutu perkhidmatan yang sama,” tegas beliau.
Acara kemasyarakatan di Istana itu dianjurkan Yayasan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), iaitu cabang impak sosial pertubuhan tersebut.
Memetik The Straits Times (ST), Ketua Eksekutif Yayasan SBF, Cik Yap Su-Yin, berkata:
“Bagi sesetengah individu, halangan mendapat pekerjaan bermula lama sebelum menghadiri sesi temu duga, malah boleh berlanjutan selepas mereka diambil bekerja.”
Pencari kerja mungkin terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal tetap, wanita yang berdepan tekanan cabaran keluarga atau mereka yang sedang pulih daripada masalah kesihatan mental.
Kesemua kelompok ini mendapat manfaat daripada bimbingan khusus, persediaan kemahiran, pembinaan keyakinan serta sokongan menyeluruh untuk menceburi pasaran kerja, tambah beliau.
“Majikan pula mungkin memerlukan panduan untuk menyusun semula skop tugasan, menyesuaikan amalan di tempat kerja serta menyokong kakitangan membiasakan diri bertugas. Ini ruang di mana kerjasama antara perniagaan dengan pertubuhan masyarakat dapat membawa perubahan nyata,” ujar Cik Yap yang juga Ketua Pegawai Kemampanan Sosial SBF.
Terdahulu, Tuan Presiden, yang juga penaung Yayasan SBF, merasmikan acara jalan kaki amal EmployWell: Walk for Work 2026.
Lebih 1,000 peserta daripada lebih 110 syarikat menyertai acara jalan kaki amal itu, yang diadakan buat kali pertama di Istana dengan menyusuri beberapa laluan di kawasan tersebut.
Acara tersebut berjaya mengumpul dana melebihi $1 juta untuk diagihkan kepada rakan masyarakat yayasan dan pencari kerja, termasuk memperkukuh kerjasama dengan agensi khidmat sosial.
Cik Yap turut memaklumkan bahawa program EmployWell telah membantu lebih 2,700 individu memperoleh sokongan mendapat kerja sejak 2022.
Daripada jumlah itu, lebih 1,250 individu berjaya mendapat pekerjaan di lebih 200 syarikat majikan inklusif.
SBF berhasrat meluaskan program itu merangkumi pekerja matang selaras dengan keperluan yang kian meningkat untuk membuka laluan bermakna bagi tujuan hidup, pekerjaan dan sumbangan berterusan mereka.
Rumah terbuka kali ini turut memberi penerangan secara langsung langsung sewaktu upacara pertukaran pengawal bagi membantu pengunjung memahami tradisi ketenteraan bersejarah itu.
Selain itu, sudut membaca khas disediakan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) sebagai sebahagian inisiatif ReadSG, yang menampilkan pilihan buku cadangan Tuan Presiden dan Puan Ittogi.
Para pengunjung juga dihiburkan dengan pelbagai persembahan muzik, tarian dan kebudayaan oleh penyanyi-penulis lagu tempatan, Ahmadul Amin dan Heema Izzati, serta penuntut Politeknik Singapura.