Lawatan awam mingguan ke balai bomba akan digantung pada 18 Januari, menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Dalam hantaran Facebook pada 16 Januari, SCDF berkata penutupan sementara itu adalah atas sebab operasi, tanpa mengulas lanjut.
SCDF turut menambah bahawa lawatan mingguan itu akan disambung semula pada 25 Januari, lapor The Straits Times.
Mereka yang telah membuat tempahan akan dihubungi untuk perubahan jadual.
“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul,” kata SCDF.
Balai bomba yang dibuka kepada orang ramai setiap pagi Sabtu untuk lawatan berpandu termasuk Balai Bomba Central Alexandra, Clementi, Kallang dan Yishun.
Pada Mei 2024, lawatan awam mingguan ke balai bomba telah digantung berikutan kematian pegawai tetap SCDF, Encik Kenneth Tay, 30 tahun.
Lawatan tersebut disambung semula pada Julai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg