Satu upacara penuh istiadat diadakan pada 20 Mei bagi pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Kapten Kenneth Tay Xue Qin, yang terkorban semasa menjalankan tugas memadamkan api di atas sebuah kapal di perairan Singapura pada 16 Mei.
Sekitar 50 anggota keluarga mengiringi van yang membawa keranda mendiang.
Van tersebut diselimuti bendera negara, ketika ia meninggalkan Telok Blangah, tempat upacara untuk memberi penghormatan terakhir diadakan.
Lagu Hero dendangan penyanyi Amerika Syarikat, Mariah Carey, mengiringi kenderaan itu ketika ia menuju ke kuil Kong Meng San Phor Kark See di Bright Hill tempat upacara tersebut diadakan, lapor The Straits Times (ST).
Pegawai SCDF memberi tabik hormat sedang keranda mendiang tiba di kuil tersebut.
Pada 16 Mei, Kapten Tay yang berkhidmat sebagai komander rota marin di Balai Bomba West Coast Marine, didapati tidak sedarkan diri semasa menjalankan tugas memadamkan api di atas kapal tangki yang berdaftar di China, Sheng Hang Hua 6.
Beliau segera dikejarkan ke Hospital Universiti Nasional (NUH) dan disahkan meninggal dunia.
Selepas keranda mendiang tiba di Bright Hill pada 9.15 pagi, ia diusung oleh lapan pegawai dari Divisyen Marin SCDF, Divisyen 1 SCDF, dan rakan kursusnya dari Kursus Komander Rota ke-17 beliau.
Keranda tersebut kemudian dialihkan ke kenderaan Red Rhino bagi perarakan penuh istiadat menuju ke krematorium untuk upacara pembakaran.
Kenderaan itu turut diiringi pancaragam Pasukan Polis Singapura (SPF).
Satu rombongan pengiring terdiri daripada 16 pegawai SCDF mengikuti kenderaan itu sedang ia dipandu melepasi 150 lagi pegawai SCDF yang berpakaian seragam.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menghadiri upacara tersebut bersama 200 kakitangan SCDF.
Pesuruhjaya SCDF, Encik Eric Yap, menyampaikan bendera negara dan satu topi SCDF kepada ibu bapa mendiang, Encik Tay Teck Kian dan Cik Tay Yuk Moi.
Ibu mendiang kelihatan mengesat air mata selepas menerimanya.
Acara bertafakur selama seminit diadakan sebagai tanda memberi penghormatan kepada Kapten Tay, sebelum upacara pembakaran.
Encik Yap menambah, mendiang akan sentiasa dikenang atas sikapnya yang tidak mementingkan diri, tahap profesionalisme dan komitmen semasa menjalankan tugas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg