Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rundingan awam bakal dijalankan bagi undang-undang baru libat doktor haiwan

Oct 24, 2025 | 3:14 PM
Majlis Veterinar, pameran veterinar singapura, alvin tan, undang-undang sektor veterinar
Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan, membuat ucapan di Pameran Veterinar Singapura yang dianjurkan di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura, pada 24 Oktober. - Foto ST

Orang ramai boleh mengemukakan maklum balas menjelang akhir 2025 mengenai undang-undang baru untuk mendenda doktor haiwan yang cuai, serta mengawal selia sektor veterinar yang berkembang pesat di Singapura.

Dalam pengumuman pada 24 Oktober, Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan, berkata Rang Undang-Undang Amalan Veterinar akan mewujudkan sistem lebih kukuh bagi mengurus aduan, siasatan dan penyiasatan berkaitan doktor haiwan, serta mempermudah proses rayuan.

Salah laku profesional atau kecuaian akan dipantau oleh sebuah Majlis Veterinar, kata Encik Tan kepada anggota sektor veterinar di Pameran Veterinar Singapura yang dianjurkan di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura.

Langkah itu diambil sejajar dengan peningkatan bilangan doktor haiwan berlesen di Singapura, daripada 122 pada 2006 kepada 674, setakat September 2025.

Undang-undang baru itu juga akan memperkenalkan rangka kerja pendaftaran baru bagi doktor haiwan, termasuk daftar khas bagi pakar veterinar yang telah menjalani latihan dan memiliki kelayakan tambahan, jelas Encik Tan.

Semua doktor haiwan yang berlesen di bawah Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) Lembaga Taman Negara (NParks) akan disertakan dalam rangka kerja baru itu, tambah beliau.

Undang-undang yang diusul akan memperkenalkan penalti terhadap doktor haiwan.

Penalti tersebut – yang buat masa ini dikendalikan AVS – boleh dikuatkuasakan Majlis Veterinar yang merangkumi wakil daripada sektor awam dan swasta.

Badan profesional itu antara lain, akan menetapkan piawaian profesional bagi pendidikan berterusan, amalan, tingkah laku dan etika doktor haiwan.

Presiden Persatuan Veterinar Singapura (SVA), Dr Teo Boon Han, berkata pembentukan Majlis Veterinar menghantar isyarat jelas bahawa penggubal dasar dan masyarakat kini melihat pekerjaan itu dengan perspektif berbeza.

“Beberapa dekad lalu, bilangan doktor haiwan sangat kecil,” kata Dr Teo. 

“Kini, dengan semakin ramai orang memiliki haiwan peliharaan dan haiwan semakin dianggap sebagai anggota keluarga, saya rasa kesedaran mengenai peranan doktor haiwan dan sumbangan mereka kepada masyarakat turut meningkat.”

Meskipun sektor itu dikawal selia AVS, Dr Teo berkata penyertaan wakil daripada pelbagai pihak industri di dalam majlis tersebut akan membantu AVS bertindak balas dengan pantas terhadap perubahan dalam industri.

Timbalan Pengarah Pejabat Program AVS, Dr Grace Yam, berkata idea penubuhan majlis itu tercetus pada 2021, selepas tinjauan seluruh industri untuk meningkatkan sektor veterinar menunjukkan sokongan kuat terhadap pembentukan majlis khusus bagi mengekal dan meningkatkan piawaian sektor tersebut.

Setakat ini, seramai 450 individu termasuk doktor haiwan, jururawat veterinar, pengendali premis haiwan peliharaan dan pengguna perkhidmatan veterinar terlibat dalam perancangan majlis tersebut, jelasnya.

“(Maklum balas tersebut) telah membantu kami memperhalusi usulan serta merangka langkah peralihan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan veterinar kepada industri haiwan,” kata Encik Tan.

Apabila diluluskan, undang-undang itu akan mula dikuatkuasakan kepada doktor haiwan dahulu, sebelum diperluas kepada jururawat veterinar.

Menurut kenyataan AVS, orang ramai akan dijemput untuk memberi maklum balas mengenai undang-undang yang diusulkan melalui wadah unit maklum balas pemerintah, Reach, selama sebulan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg