Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) selamat menghantar bantuan kemanusiaan kesembilan dari Singapura ke Gaza.
Pada masa yang sama SAF juga selesai dalam operasi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza menerusi udara yang kedua bersama angkatan udara asing yang lain yang berlangsung dari 12 hingga 25 Ogos.
Menyatakan demikian dalam satu kenyataan pada 25 Ogos, Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata pesawat pengangkut C-130 milik Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) bersama krunya telah selamat kembali dari Jordan.
“Pesawat pengangkut C130 diterbangkan lima kali bagi menyokong misi ini dan disokong oleh Batalion Pengangkutan SAF Ketiga Tentera Singapura berserta rakan pertahanan.
Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Serantau Changi (RHCC) menyelaras bantuan tersebut yang terdiri daripada bekalan perubatan daripada Kementerian Kesihatan (MOH), bekalan makanan daripada Badan Bukan Pemerintah (NGO) Humanity Matters, Caritas Humanitarian Aid and Relief Initiatives Singapore (Charis), Mercy Relief dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).
Secara keseluruhannya, RSAF menghantar 14.9 tan muatan kemanusiaan ke Gaza menerusi udara.
Panglima Tentera Udara Jeneral Mejar (MG) Kelvin Fan berkata:
“Hasil ini adalah bukti kesediaan operasi kami dan keupayaan untuk menjalankan operasi dalam tempoh yang singkat.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anggota kerahan dan wanita, rakan pertahanan serta keluarga anda atas komitmen, dedikasi dan sokongan anda bagi mencapai misi ini.
“Penghargaan yang tulus saya juga kepada RHCC Changi dan NGO kami kerana melangkah ke hadapan untuk memberikan bantuan dan sokongan pada masa yang memerlukan.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg