Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zaqy: Misi kemanusiaan tanda belas ihsan warga S’pura

Hargai sumbangan anggota SAF, serta bekalan tambahan daripada pertubuhan Humanity Matters
Aug 19, 2025 | 4:44 PM
Zaqy Mohamad, Jordan, SAF, Gaza
Semasa melawat Jordan pada 18 Ogos, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad (kiri), melahirkan penghargaan beliau kepada anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), yang bertekad memastikan setiap pakej bantuan mendarat dengan selamat dan sampai kepada penduduk Gaza. - Foto MINDEF

Misi kemanusiaan Singapura merupakan tanda sifat belas ihsan dan perikemanusiaan negara ini, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad.

Beliau berkata demikian selepas lawatannya bersama anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang ditugaskan bagi operasi penghantaran bantuan dari udara di Pangkalan Udara Raja Abdullah II Jordan pada 18 Ogos.

Demikian menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef).

Semasa lawatan itu, Encik Zaqy, turut menghargai sumbangan wakil badan bukan pemerintah (NGO) Humanity Matters, yang telah menyumbangkan bekalan bantuan kemanusiaan tambahan.

Sumbangan itu bakal dihantar oleh anggota SAF dalam beberapa hari akan datang, kata Mindef.

Encik Zaqy turut menyampaikan penghargaan kepada anggota SAF yang “bertekad memastikan setiap pakej bantuan mendarat dengan selamat dan sampai kepada penduduk Gaza”.

“Saya sedar akan kesukaran yang dihadapi kakitangan SAF kita yang bertugas di zon konflik.

“Walaupun berdepan risiko keselamatan, anggota SAF kami tetap komited memastikan setiap pakej tiba dengan selamat kepada penduduk Gaza.

“Bagi saya, ini lebih daripada sekadar misi ketenteraan. Ini adalah usaha kolektif Singapura, melambangkan sifat belas ihsan rakyat kita serta dorongan demi kemanusiaan,” ujar beliau.

Menurut Mindef, ini adalah misi kemanusiaan ketiga beliau di Timur Tengah bersama SAF.

Sepanjang lawatan itu, Encik Zaqy diberi taklimat mengenai langkah bagi memastikan operasi dilakukan dengan selamat dan mengurangkan risiko kepada orang awam.

Antara yang dilaksanakan termasuk penyelarasan pelbagai negara dalam pemilihan serta peruntukan zon penghantaran, penggunaan imej satelit komersial, laporan terkini keadaan di darat, serta perkongsian pengalaman operasi lalu.

Pertemuan itu sekali gus menekankan kembali ikatan mesra antara Singapura dengan Jordan.

Menurut Mindef, kededua pemimpin itu membincangkan cara meningkatkan kerjasama lanjut antara kededua angkatan tentera bagi meringankan krisis kemanusiaan di Gaza.

Sebelum ini, sebuah pesawat pengangkut RSAF C-130 telah menggugurkan bantuan perubatan dan makanan ke Gaza pada 15 Ogos, sebagai sebahagian daripada usaha antarabangsa atas undangan Kerajaan Jordan.

Seramai 58 anggota pertahanan dan tentera Singapura dikerah bagi menyokong operasi yang diselaraskan oleh Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Serantau Changi (RHCC).

Bantuan perubatan itu disumbangkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH), manakala bantuan makanan disalurkan NGO seperti Humanity Matters, Caritas Humanitarian Aid and Relief Initiatives Singapore (Charis), Mercy Relief dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).

RSAF menghantar bantuan dari udara pertamanya ke Gaza pada 20 Mac 2024, dan penghantaran pada 15 Ogos lalu adalah yang kesembilan Singapura sejak konflik Israel-Hamas tercetus pada Oktober 2023.

Dengan penghantaran terkini itu, Singapura telah menyalurkan lebih $22 juta dalam bentuk bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg