Singapura dan Malaysia mengesahkan hubungan pertahanan yang erat dan lama terjalin antara kedua-dua negara apabila Ketua Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral (Jen) Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan Aris, mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pertahanan Singapura, Encik Chan Chun Sing, di Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 20 Ogos.
Dalam kenyataan Mindef pada 20 Ogos, ia berkata kedua-dua pihak turut menekankan kepentingan memperdalam kerjasama dan memperkukuh hubungan antara anggota Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Mindef berkata RSAF dan TUDM telah meningkatkan persefahaman bersama serta menjalin hubungan profesional sepanjang tahun melalui interaksi tetap seperti pertukaran anggota, latihan penempatan pesawat pejuang, dan latihan dua hala seperti Sarex Malsing.
“Kedua-dua angkatan udara juga bekerjasama dalam platform pelbagai hala seperti Persetujuan Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang menyumbang secara membina kepada pelaksanaan keselamatan serantau,” kata kenyataan itu.
Selain itu, Encik Chan turut meluahkan penghargaan yang sama melalui Facebook pada 20 Ogos dan berkata pertemuan tersebut mengesahkan semula hubungan pertahanan yang erat dan lama terjalin antara Singapura dengan Malaysia.
Mengulas mengenai kerjasama selama ini antara RSAF dengan TUDM, Encik Chan berkata:
“Peluang-peluang ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan profesional kedua-dua negara, malah mengeratkan hubungan sesama anggota serta menyumbang kepada rantau yang lebih selamat.
“Dengan kepimpinan beliau (Jeneral Norazlan), saya berharap dapat memperdalam lagi kerjasama antara angkatan udara kita.”
Ini merupakan lawatan pertama Jeneral Norazlan ke Singapura sejak diamanahkan jawatan baru itu.
Beliau telah dilantik sebagai Panglima Tentera Udara Ke-21 bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan yang bersara daripada TUDM pada Jun lalu, selepas khidmat selama 40 tahun.
Jeneral Norazlan, yang berada di Singapura dari 19 hingga 20 Ogos, turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Tentera Udara, Mejar-Jeneral (MG) Kelvin Fan selepas memeriksa Kawalan Kehormatan di Mindef.
MG Fan menyampaikan Sayap Kehormat RSAF kepada Jeneral Norazlan dalam satu majlis di Mindef sebagai pengiktirafan terhadap komitmen beliau dalam memperkukuh hubungan antara RSAF dengan TUDM.
Selain itu, Jeneral Norazlan turut melawat Pangkalan Udara Changi (Timur), di mana beliau diberi taklimat dan meninjau pameran pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg