Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Angkatan Bersenjata Malaysia (MAF) berjaya menjalankan latihan Semangat Bersatu (XSB) edisi ke-28 dari 18 hingga 26 Ogos 2024, satu latihan dua hala tahunan antara kededua pihak di Kluang, Johor, Malaysia.
Menurut satu kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 26 Ogos, latihan kali ini melibatkan lebih 800 kakitangan daripada kededua Batalion Kelima Rejimen Infantri Singapura serta Rejimen Askar Melayu Diraja.
Latihan tersebut menyediakan para peserta peluang berkongsi sistem senjata dan teknik pertempuran infantri terkini satu sama lain, yang berakhir dengan perancangan serta pelaksanaan latihan misi batalion gabungan.
Panglima Tentera Darat SAF, Mejar Jeneral (MG) David Neo, serta Panglima Tentera Darat MAF, Jeneral Tan Sri Datuk Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan, merasmikan bersama majlis penutup XSB di ladang Sungei Kluang pada pagi 26 Ogos.
MG Neo memuji askar yang mempamerkan tahap profesional, disiplin dan semangat juang yang tinggi.
Beliau turut menekankan usaha mengukuhkan kerjasama dan hubungan antara rakyat.
Dalam ucapannya, MG Neo berkata: “Latihan XSB menyediakan peluang yang berharga untuk askar dan unit kita mengasah kepintaran taktikal mereka, bertukar amalan terbaik dan membina keakraban.
“Persefahaman dan persahabatan yang terjalin antara askar menjadi asas yang kukuh bagi hubungan pertahanan kita yang lebih luas,” katanya.
Diadakan buat julung-julung kalinya pada 1989, latihan XSB menyediakan platform yang berharga untuk kedua-dua angkatan tentera mengukuhkan interaksi profesional dan menekankan hubungan pertahanan yang mesra dan lama terjalin antara Singapura dengan Malaysia.
Tentera Darat Singapura dan Tentera Darat Malaysia berinteraksi secara kerap dalam pelbagai kegiatan, termasuk pertukaran dua hala, kehadiran bersama dalam kursus dan kegiatan berbilang hala di bawah naungan Persetujuan Pertahanan Lima Negara (FPDA) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM)/ADMM-Plus.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg