Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Zaqy: Usaha bantu Gaza libat pelbagai kaum perkukuh masyarakat

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Zaqy: Usaha bantu Gaza libat pelbagai kaum perkukuh masyarakat

Lebih 600 relawan pelbagai latar belakang kutip derma untuk mangsa konflik Israel-Palestin pada 7 Apr
Apr 07, 2024 | 04:57 PM



Kegiatan sokongan kemanusiaan melibatkan pelbagai kaum dan agama seperti mengutip derma untuk mangsa konflik Israel-Palestin di Gaza dapat memperkukuh perpaduan dalam masyarakat, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamed.

Menambah, Encik Zaqy berkata Singapura telah mengorak beberapa langkah yang bukan sahaja bertujuan membantu Gaza, malah menyatukan masyarakat berbilang kaum dan agama di sini.

“Tidak seperti negara-negara lain di mana perpecahan dan ketegangan berlaku dalam masyarakat, kita telah mengambil banyak langkah untuk menyatukan masyarakat. Ini termasuk memberi taklimat dan menganjurkan kegiatan seperti mengumpul derma yang menghimpunkan masyarakat berbilang kaum,” ujar Encik Zaqy.

Encik Zaqy berkata nilai-nilai saling memahami, saling menghormati dan sokongan bersama yang wujud di Singapura ditampilkan menerusi usaha bantuan kemanusiaan seperti itu.

“Seperti anda lihat di sini, terdapat persefahaman, sifat saling menghormati dan pada ketika ini, sokongan bersama menerusi usaha yang dibangunkan masyarakat dan dapat kita lakukan bersama,” kata beliau.

Encik Zaqy berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) di acara kutipan derma di tempat-tempat awam yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan mencari untung, Humanity Matters, pada 7 April.


Lebih 600 relawan daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar dan pekerja migran tampil di premis Humanity Matters yang terletak di 51 Lorong 17 Geylang untuk mengambil tabung derma dan pelekat khas seawal 9 pagi. Mereka keluar mengutip derma dari sekitar 11 pagi hingga 4 petang.

Pelekat itu, yang turut diedarkan kepada orang ramai, membawa mesej Satu Negara Satu Kemanusiaan – Pergerakan Belas Kasihan Bersama dan Membina demi menekankan kepada warga Singapura bahawa mereka juga boleh memainkan peranan sebagai warga dunia yang prihatin, ihsan dan membina, walaupun berasal dari negara yang kecil saiznya, kata penganjur.


Salah seorang relawan yang hadir di acara itu, Cik Saniah Ahmad, 64 tahun, teruja dapat menyumbang tenaga bagi membantu mangsa di Gaza.

“Saya pernah tiga kali pergi ke Palestin dan melihat sendiri pengorbanan dan perjuangan harian mereka di sana. Ia tidak dapat dibandingkan dengan apa yang kita lalui di sini. Itu yang membuat saya terdorong untuk membantu,” kata pesara itu, yang datang sendirian bagi melibatkan diri dalam acara mengutip derma itu.







Konflik terkini di Gaza tercetus selepas serangan kumpulan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober menyebabkan 1,200 warga Israel maut dan sekitar 250 diculik sebagai tebusan. Serangan balas Israel ke atas Gaza mengorbankan lebih 32,000 warga Palestin, kebanyakan wanita dan kanak-kanak, menurut laporan yang diterbitkan Dana Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) pada 6 April.

Dengan konflik berlarutan enam bulan, sekitar 1.7 juta warga Palestin di Gaza pula kini menjadi pelarian dengan sebahagian besar berdepan dengan kebuluran, kata UNFPA.

Mengulas mengenai keadaan konflik di Gaza, Encik Zaqy menekankan pendirian Singapura iaitu Israel telah bersikap keterlaluan, walau ia berhak mempertahankan diri sendiri.

Insiden pada 1 April di mana Israel melancarkan serangan yang mengorbankan tujuh pekerja bantuan badan amal, World Central Kitchen (WCK), di Gaza, menunjukkan bahawa usaha perlu dipertingkat untuk melaksanakan gencatan senjata kemanusiaan, kata Encik Zaqy.

“Ini adalah isyarat untuk dunia bangkit dan tampilkan diri untuk bantu mangsa di Gaza, dan saya gembira warga Singapura terdorong untuk berbuat sedemikian,” ujarnya lagi.

Setakat ini, Singapura telah menghantar tiga pakej bantuan ke Gaza sejak konflik Israel-Pelastin terkini tercetus pada 7 Oktober.

Pakej bantuan pertama dihantar pada awal November 2023 apabila bekalan bantuan Persatuan Palang Merah Singapura dan dana yang dikumpul oleh Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir. 

Pakej bantuan kedua, yang termasuk ubat-ubatan, barangan sanitasi dan alat penapis air, telah dikirimkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir pada akhir November 2023, dengan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) mengerahkan sebuah pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan A330 dan 46 anggota tentera untuk misi itu.

Pada 20 Mac, Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dengan kerjasama tentera Jordan memulakan operasi menggugurkan bantuan kemanusiaan dari udara menggunakan pesawat C-130 milik RSAF di kawasan konflik. Pakej bantuan ketiga itu mengandungi pek makanan serta bekalan penting seperti peralatan perubatan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >