Tabung Amal Aidilfitri (TAA) telah melancarkan Kempen Dana Amal TAA-Ramadan 2025 dengan sasaran mengumpul $1.5 juta dan membantu lebih 3,200 keluarga memerlukan.
Setiap keluarga akan menerima $500.
Kempen pungutan dana itu dilancarkan pada 21 Februari di dewan Grand Dahlia@Joo Chiat Complex dan akan berlangsung hingga 31 Mac.
Sasaran baru TAA itu ditetapkan menyusuli pembentangan belanjawan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, pada 18 Februari.
Dalam satu kenyataannya pada 21 Februari, TAA mengatakan ia mengalu-alukan “peruntukkan lebih $600 juta sebagai padanan untuk menyokong pengumpulan dana amal seperti kegiatan pengumpulan Dana Amal TAA Ramadan 2025. Ini termasuk tambahan $270 juta kepada Program Mengumpul Dana yang Dipertingkat.”
Dalam kalangan penerima bantuan TAA, 75 peratus adalah penghuni flat sewa HDB satu bilik dan dua bilik, hampir 90 peratus mempunyai pendapatan per kapita isi rumah sekitar $500 sebulan, dan lebih 30 peratus adalah warga emas.
Pelancaran Kempen Dana Amal TAA-Ramadan 2025 dihadiri Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, sebagai tetamu terhormat.
“Sejak ditubuhkan pada 1992, TAA merupakan ikon amal yang dipercayai, yang merangkumi nilai kasih sayang dan keprihatinan terhadap golongan kurang bernasib baik,” kata Encik Zaqy dalam ucapannya.
Antara benefisiari dana tersebut ialah sepasang suami isteri, Encik Mohamed Daan, 71 tahun, dan Cik Rahmah Abdul Aziz, 60 tahun.
Encik Mohamed berkata kepada Berita Minggu: “Saya selalu manfaatkan wang bantuan TAA untuk urusan anak-anak kami yang kurang upaya, kerana saya satu-satunya penjaga isteri saya, adik ipar saya dan kedua-dua anak lelaki saya yang mengalami autisme.”
Untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kempen itu, TAA memberi gelaran ‘Sahabat TAA’ kepada selebriti tempatan, A.B. Shaik, yang nama sebenarnya Shaik Abu Bakar Ahmad Banafe.
Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA, Encik Mohd Najib Sahib, berkata: “Melalui inisiatif (Program Sahabat TAA) kami ingin menggalak ahli korporat serta individu melibatkan diri dalam kerja sukarela kami, menyokong dan diiktiraf atas usaha mereka.”
Mereka yang ingin menderma boleh melakukannya melalui: PayNow ke T06CC1974E; mengunjungi laman tinyurl.com/giving-sg-taa, atau pemindahan wang ke Bank DBS, nombor akaun 027-01512-7.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman taa.sg.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg