Ibarat pelarian dan pendatang haram dengan setiap saat diselubungi ketakutan bimbang ditahan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Tiada visa haji atau gelang haji menyebabkan anggota jemaah dari Singapura ini tidak berani keluar dari bilik penginapan dan kadangkala hanya makan roti atau biskut setelah ejen tidak memberikan layanan sempurna di Tanah Suci.
Dua anggota jemaah yang berlepas ke Riyadh pada Mei 2024 untuk mengerjakan haji menggunakan visa pelancongan tempatan berkongsi pengalaman mereka kepada Berita Minggu (BM).
Kededua anggota jemaah, yang enggan dinamakan, sebahagian daripada sekumpulan jemaah yang menunaikan haji menerusi ejen dikendalikan sepasang suami isteri.
Jemaah tersebut terdiri daripada 30 anggota jemaah Singapura dan empat anggota jemaah dari Indonesia, dengan sesetengah daripada mereka merupakan warga emas, pesakit barah dan mempunyai penyakit lain.
Setibanya di Tanah Suci, pasangan suami isteri itu selaku ejen pakej haji ‘VIP’ didakwa tidak menepati beberapa janji – jemaah mula mengesyaki mereka telah ditipu.
Dalam perjalanan dari Madinah ke Makkah, jemaah lelaki tidak dibenarkan berpakaian ihram dan tidak dibenarkan menjatuhkan niat ihram agar tidak dikesan pihak berkuasa sehingga merosakkan ibadah mereka.
Menurut jemaah, ketua rombongan berkata visa pelancong jemaah akan dinaik taraf kepada visa haji setelah mereka tiba di Makkah.
Namun, apabila diterima ‘visa haji’ mereka, terdapat beberapa kesilapan fakta di visa seperti jantina dan kebangsaan yang salah.
“Saya rasa ini bukan visa haji yang sebenarnya,” keluh seorang jemaah.
“Di Makkah pula, ketua rombongan melarang kami keluar hotel dan paksa kami solat di musala hotel. Kami dimarahi apabila hendak cari makanan.
“Tetapi ada yang menyelinap keluar ke Masjidil Haram untuk lakukan tawaf sunat. Kami sudah dekat dengan Kaabah, bagaimana anda boleh menghalang kami daripada mengunjungi Kaabah?” jelas anggota jemaah itu.
Menurut kededua anggota jemaah, kumpulan mereka kemudian dipindahkan ke Shisha dan dilarang keluar dari penginapan. Beberapa hari sebelum wuquf di Arafah, polis Saudi menyerbu apartmen tersebut.
Beberapa anggota jemaah ditahan kerana tidak mempunyai dokumen sah tetapi kemudian dilepaskan membuat jemaah mengesyaki bahawa ketua rombongan ‘berunding dengan polis secara rahsia’ untuk ‘menyelesaikan’ isu tersebut.
Semasa wuquf di Arafah, jemaah terpaksa berjalan sekitar dua jam mendaki bukit tanpa arah tujuan demi mencari khemah yang dijanjikan dan tempat untuk berwuquf.
Seorang anggota jemaah memberitahu BM bahawa jemaah dijanjikan khemah ‘VIP’ serta gelang Arafah yang menunjukkan nombor khemah tetapi mereka tidak menerima kededuanya.
“Kami tidak diberi petunjuk bagaimana cara berwuquf jadi kami pandai-pandai cari khemah dengan menumpang khemah dari negara lain. Beberapa jemaah yang berusia menangis kerana tidak larat dengan cuaca panas,” ujar seorang anggota jemaah.
Oleh kerana dilarang membawa makanan, jemaah terpaksa menempuh cuaca panas sambil menahan lapar dan kehausan.
“Kami tiba di Arafah sekitar 7 pagi setelah berangkat dari hotel sekitar 2 pagi, jadi dah lama kami belum makan.
“Seorang anggota jemaah daripada kumpulan kami cari makanan dalam tong sampah dan makan buah epal yang telah dibuang,” kongsi seorang anggota jemaah sambil menahan sebak di dada.
Walaupun sudah lima bulan berlalu sejak musim haji 2024, pengalaman pahit itu masih segar dalam ingatan kededua anggota jemaah.
“Rasanya seperti ibadah haji kami tidak sah… kami ibarat pelarian di Tanah Suci, bersembunyi daripada pihak berkuasa.
“Kami rasa ibadah haji ini tidak sempurna, seperti melakukan dosa. Kami mahu datang sekali lagi melakukan semula ibadah haji ini dengan permit haji yang sah,” luah seorang jemaah yang telah membayar sekitar $28,000 bagi pakej haji ‘VIP’ itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg