Dahulu, Dr Norham Erlyani Abdul Hamid banyak menghabiskan masanya di makmal menjalankan pelbagai eksperimen dan mengejar jawapan melalui penyelidikan sains.

Namun pada 2021, selepas hampir sedekad dalam bidang penyelidikan di A*Star, saintis itu membuat satu perubahan besar dalam kerjayanya.

Beliau beralih daripada bidang penyelidikan kepada mengemudi strategi, sumber dan kerjasama yang diperlukan supaya hasil sains dapat diterjemahkan kepada produk yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Saya mahu memastikan kerja-kerja sains yang saya lakukan mempunyai kesan dan hasil langsung kepada masyarakat,” kata Dr Erlyani apabila ditemui Berita Minggu (BM) di pejabat Hilleman Laboratories di Depot Road.

Kini sebagai Ketua Portfolio di syarikat Hilleman Laboratories, Dr Erlyani, 41 tahun, menyelia empat program yang tertumpu kepada pembangunan produk kesihatan untuk negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Tugasnya bukan menghasilkan vaksin di makmal.

Sebaliknya, beliau mengetuai aspek strategi dan perancangan, memastikan program mempunyai dana, sumber dan rakan kongsi yang diperlukan untuk mencapai sasaran, selain membantu menyelesaikan halangan yang boleh melambatkan pembangunan sesuatu produk.

“Setiap rakan kongsi datang dengan agenda dan perspektif mereka sendiri. Tetapi akhirnya, kita semua perlu melihat kepada masalah yang sama dan memikirkan bagaimana kita dapat bekerjasama untuk menyelesaikannya,” katanya.

Antara program yang dikendalikan termasuk usaha membangunkan produk bagi penyakit berjangkit yang memberi kesan kepada masyarakat di negara berpendapatan rendah dan sederhana, termasuk wabak Ebola.

Dr Erlyani telah memperolehi doktor falsafah (PhD) daripada Sekolah Siswazah Sains dan Kejuruteraan Integratif (ISEP), Universiti Nasional Singapura (NUS), dari 2008 hingga 2013.
Dr Erlyani telah memperolehi doktor falsafah (PhD) daripada Sekolah Siswazah Sains dan Kejuruteraan Integratif (ISEP), Universiti Nasional Singapura (NUS), dari 2008 hingga 2013. - Foto BM oleh FANDY RAZAK

Bagi sesetengah produk ini, dorongan komersialnya mungkin tidak sebesar produk yang mempunyai pasaran lebih menguntungkan, terutama apabila masyarakat yang paling memerlukannya juga tidak mampu membelinya.

“Produk-produk ini tidak menghasilkan wang, malah orang yang sangat memerlukan vaksin ini tidak mempunyai wang untuk membelinya.

“Namun, itulah yang menjadikan misi organisasi ini dan ia sangat dekat dengan jiwa saya,” ujar Dr Erlyani, ibu kepada tiga anak.

Kerjanya juga menunjukkan bahawa pembangunan vaksin bukan sekadar soal penemuan saintifik.

Dalam usaha mempercepatkan pembangunan vaksin ketika berlaku wabak, masa adalah amat kritikal.

Misalnya, Pakatan untuk Inovasi Kesiapsiagaan Wabak (Cepi) menetapkan sasaran ‘Misi 100 Hari’ – daripada pengesanan patogen sehingga vaksin tersedia.

Dr Erylyani memberikan ucapan sebagai peneraju Rangkaian Profesional Mendaki Sains Hayat.
Dr Erylyani memberikan ucapan sebagai peneraju Rangkaian Profesional Mendaki Sains Hayat. - Foto ihsan NORHAM ERYLYANI ABDUL HAMID

“Untuk menyelaraskan rakan-rakan kongsi global dan menandatangani kontrak persetujuan sahaja kadangkala boleh memakan masa hingga empat bulan atau 120 hari,” jelas beliau.

Di sebalik tempoh itu terdapat pelbagai perkara yang perlu diselesaikan – daripada lesen import dan eksport kepada kontrak, liabiliti serta rantaian jagaan bahan.

Bagi Dr Erlyani, perkara-perkara tersebut perlu diuruskan supaya tidak mengganggu pasukan saintifik yang boleh terus memberi tumpuan kepada pembangunan produk.

Pengalaman memahami kedua-dua dunia – sains dan strategi – datang daripada perjalanan kerjayanya sendiri.

Beliau memperoleh doktor falsafah (PhD) daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) antara 2008 dengan 2013 di bawah Biasiswa Siswazah A*Star, sebelum menyertai A*Star dan menghabiskan hampir lapan tahun dalam bidang penyelidikan.

Sejak di bangku sekolah, Dr Erlyani sememangnya tertarik kepada bidang sains hayat.

Ketika di Maktab Rendah Raffles, subjek Matematik merupakan mata pelajaran yang paling diminatinya, manakala Biologi lebih mudah difahami berbanding Kimia dan Fizik kerana kaitannya dengan tubuh manusia dan penyakit.

Pada awalnya, beliau membayangkan dirinya menjadi doktor.

Dr Erlyani (kiri) mengongsi semasa sesi bimbingan ‘mGirl Co’ anjuran Kelab Mendaki pada Ogos lalu tentang kepentingan memperjuangkan kepentingan diri sendiri di tempat kerja bersama pelajar universiti dan golongan yang baru beberapa tahun bekerja sepenuh masa.
Dr Erlyani (kiri) mengongsi semasa sesi bimbingan ‘mGirl Co’ anjuran Kelab Mendaki pada Ogos lalu tentang kepentingan memperjuangkan kepentingan diri sendiri di tempat kerja bersama pelajar universiti dan golongan yang baru beberapa tahun bekerja sepenuh masa. - Foto ihsan NORHAM ERLYANI ABDUL HAMID

Namun, peluang biasiswa dan pelaburan pemerintah yang semakin berkembang dalam bidang penyelidikan ketika itu mendorongnya memilih laluan penyelidikan.

“Ketika itu, pemerintah banyak melabur dalam penyelidikan. Ada biasiswa, ada makmal-makmal baharu dan banyak peluang untuk menceburi bidang ini.

“Saya fikir, mengapa tidak saya cuba? Jadi saya ambil peluang itu dan lihat ke mana ia membawa saya,” imbas Dr Erlyani.

Dalam pada sibuk mengemudi program kesihatan global, Dr Erlyani turut semakin aktif dalam kerja kemasyarakatan sejak 2024.

Beliau merupakan peneraju Rangkaian Profesional Sains Hayat Mendaki dan anggota Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Beliau juga baru-baru ini dilantik Penasihat M Kuasa Tiga Plus (M³+) @ Punggol setelah berkhidmat sebagai naib pengerusi sebelum ini.

Melalui rangkaian di Mendaki, beliau membantu mendedahkan pelajar kepada pelbagai laluan kerjaya dalam bidang bioteknologi, farmaseutikal dan penyelidikan – bidang yang menurutnya mungkin tidak diketahui pelajar walaupun mereka meminati sains.

“Bagi saya, pendedahan itu penting kerana mungkin mereka tidak tahu pun bahawa pekerjaan-pekerjaan seperti ini wujud,” kata beliau.

Antara usaha yang dijalankannya termasuk sesi perkongsian bersama profesional industri, lawatan pembelajaran ke syarikat seperti Mirxes, syarikat bioteknologi Singapura yang membangunkan teknologi diagnostik molekul, dan pusat inovasi protein seperti Buhler and Givaudan.

Dr Erlyani baru-baru ini dilantik Penasihat M³+@ Punggol atau setelah berkhidmat sebagai naib pengerusi sebelum ini. Beliau bergambar bersama pengerusi M³+@ Punggol, Encik Johann Johari.
Dr Erlyani baru-baru ini dilantik Penasihat M³+@ Punggol atau setelah berkhidmat sebagai naib pengerusi sebelum ini. Beliau bergambar bersama pengerusi M³+@ Punggol, Encik Johann Johari. - Foto ihsan NORHAM ERLYANI ABDUL HAMID

Dalam satu sesi Nadi Inovasi pada Julai 2025, pelajar dan saintis muda turut diberi peluang membentangkan penyelidikan mereka melalui simposium poster, dalam suasana yang menyerupai persidangan saintifik.

Bagi Dr Erlyani, usaha itu mempunyai kaitan rapat dengan pengalaman yang dilaluinya sendiri.

Ketika mengikuti pengajian PhD dan membina kerjaya dalam bidang sains, beliau mendapati tidak ramai tokoh wanita Melayu dan Muslim dalam bidang tersebut yang boleh dijadikan contoh atau tempat untuk mendapatkan panduan.

“Semasa saya membuat PhD dan memikirkan tentang kerjaya saya, susah hendak mencari seseorang untuk dapatkan panduan.

“Bukan bermakna tiada langsung, tetapi tidak ramai. Jadi saya fikir, kalau saya boleh menjadi orang itu untuk orang lain, mengapa tidak?” katanya.

Dorongan itu menjadi antara sebab beliau mahu lebih aktif membantu golongan muda.

Pada satu sesi bimbingan mGirl Co anjuran Kelab Mendaki pada Ogos lalu, Dr Erlyani berpeluang berkongsi tentang cara memperjuangkan kepentingan diri sendiri di tempat kerja bersama pelajar universiti dan golongan yang baru beberapa tahun bekerja sepenuh masa.

“Saya selalu fikir, kalaulah ada seseorang yang beritahu saya perkara-perkara ini ketika saya baru bermula.

“Sekarang, kalau anda sudah kenal seseorang yang boleh berkongsi maklumat itu dengan anda, gunakanlah. Ambil maklumat itu, gunakan untuk memperkasakan diri sendiri dan capai apa yang anda mahu,” katanya lagi.

Di sebalik pelbagai tanggungjawab profesional dan kemasyarakatan itu, keluarga menjadi asas penting bagi Dr Erlyani.

Beliau dan suaminya, seorang juruterbang, membesarkan tiga anak berusia 12, 10 dan tujuh tahun.

Ketiga-tiganya bermain bola sepak di sebuah kelab dan mempunyai latihan kira-kira tiga kali seminggu, selain perlawanan pada hujung minggu.

Beliau mengakui penglibatan dalam kerja kemasyarakatan mungkin sukar dilakukan ketika anak-anak masih kecil, terutama ketika ketiga-tiganya berusia bawah lima tahun.

“Sekarang anak-anak sudah lebih berdikari. Kalau ketika mereka masih kecil, saya rasa memang susah untuk buat semua ini.

“Saya tidak boleh kata saya melakukan semuanya seorang diri. Suami saya, ibu bapa dan mentua banyak membantu. Di tempat kerja pun saya ada pasukan dan rakan-rakan yang banyak menyokong saya,” katanya.

Namun, beliau juga memastikan dirinya mempunyai masa untuk ‘berhenti’ seketika.

Sekurang-kurangnya sekali seminggu, beliau akan berlari atau berjalan di sekitar Bedok Reservoir selama kira-kira sejam.

Baginya, masa itu membolehkan beliau menikmati udara dan cahaya matahari, menjernihkan fikiran dan kembali dengan tenaga baharu untuk minggu berikutnya.

Bagi Dr Erlyani, perjalanan kerjayanya sendiri tidak pernah benar-benar lurus – daripada cita-cita menjadi doktor, kepada penyelidikan, kemudian beralih kepada strategi pembangunan produk kesihatan global.

Kini, pengalaman itu pula menjadi sesuatu yang mahu dikongsi dengan generasi seterusnya.

Nasihatnya kepada golongan muda adalah supaya mereka tidak terlalu terikat kepada satu laluan atau merasakan bahawa mereka perlu mempunyai semua jawapan sejak awal.

“Jangan rasa bahawa anda perlu tahu dengan tepat apa yang anda mahu lakukan sepanjang hidup. Kadangkala, peluang yang datang mungkin membawa anda ke arah yang tidak pernah anda jangkakan.

“Jangan takut untuk mencuba dan jangan fikir anda perlu melalui semuanya seorang diri. Cari orang yang boleh membimbing anda, tanya soalan dan gunakan setiap peluang untuk belajar,” pesannya.

BIODATA

Dr Norham Erlyani Abdul Hamid
- 41 tahun
- Ketua Portfolio, Hilleman Laboratories
- PhD, Universiti Nasional Singapura (NUS), 2008–2013; Biasiswa Siswazah A*star
- Hampir sedekad dalam bidang penyelidikan di A*Star sebelum beralih kepada strategi dan pembangunan produk kesihatan global pada 2021
- Anggota Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Penasihat M³+@Punggol dan peneraju Rangkaian Profesional Sains Hayat Mendaki