Topik diikuti
Pergi ke BHkuSiri animasi Jepun cetus minat mikrobiologi, kini terlibat bangun vaksin Ebola
Miliki pengalaman hampir sedekad dalam industri farmaseutikal, namun peluang sertai pembangunan vaksin Ebola berikan pengalaman kerjaya penuh bermakna
Minat Encik Muhammad Hanif Hasan terhadap dunia mikrobiologi tercetus daripada sesuatu yang tidak dijangka – menonton siri animasi Jepun atau anime bertajuk Moyashimon: Tales of Agriculture.
Siri itu mengisahkan seorang pelajar yang mampu melihat mikroorganisma dengan mata kasar, dan mencetuskan rasa ingin tahu Encik Hanif terhadap peranan mikrob dalam kehidupan harian.
Minat itu membawanya ke Hilleman Laboratories Singapura, di mana pakar mikrobiologi kawalan kualiti (QC) berusia 35 tahun itu kini terlibat dalam pembangunan vaksin Ebola untuk kegunaan global.
Terpesona dengan dunia mikroorganisma, Encik Hanif memilih bidang bioteknologi di Politeknik Temasek sebelum melanjutkan pengajian dalam Sains Bioperubatan di Universiti Aston, United Kingdom.
Anak kedua dalam keluarga tiga beradik itu kini mempunyai pengalaman hampir sedekad dalam industri farmaseutikal, termasuk menghasilkan ubat komersial sedia ada berdasarkan resipi pelanggan di sebuah syarikat farmaseutikal lain serta terlibat dalam penghasilan susu formula bayi.
Namun, peluang menyertai pembangunan vaksin Ebola dari peringkat awal selepas menyertai syarikat Hilleman Laboratories pada Mei lalu memberikan pengalaman kerjaya yang berbeza.
Hilleman Laboratories membangunkan penyelesaian kesihatan untuk negara yang kurang mendapat perhatian pasaran komersial dan baru-baru ini menerima dana lebih AS$8 juta ($10.8 juta) daripada Pakatan untuk Inovasi Kesiapsiagaan Wabak (Cepi) bagi pembangunan vaksin Ebola varian Bundibugyo.
Dana itu disalurkan khas bagi membangunkan vaksin untuk menangani Ebola varian Bundibugyo, susulan wabak yang diisytiharkan di Republik Demokratik Congo (DRC) pada Mei lalu.
Sebelum ini, sesetengah vaksin Ebola memerlukan rantaian sejuk ekstrem pada suhu serendah -80 Celsius, yang boleh menjadi cabaran untuk dikekalkan di kawasan pedalaman yang mempunyai kekangan infrastruktur.
Salah satu ciri vaksin yang sedang dibangunkan ialah keupayaan untuk kekal stabil dalam peti sejuk biasa selama beberapa bulan, yang berpotensi memudahkan pengedaran ke kawasan yang mempunyai kekangan infrastruktur rantaian sejuk.
Bagi Encik Hanif, penglibatannya dalam projek itu memberikan makna lebih besar kepada tugas yang sebelum ini dilihatnya sebagai tanggungjawab untuk memastikan kualiti produk.
“Pada awalnya, saya melihat pekerjaan saya sebagai tanggungjawab untuk memastikan kerja yang dilakukan memenuhi standard kualiti yang ditetapkan,” kongsi Encik Hanif dengan Berita Minggu (BM) dengan nada rendah diri.
“Tetapi apabila mengetahui bahawa usaha saya boleh menyumbang kepada persediaan dan usaha menangani wabak Ebola di luar Singapura, saya rasa ia memberi satu makna yang lebih besar kepada pekerjaan ini.”
Sebagai sebahagian daripada pasukan QC mikrobiologi, tugas harian Encik Hanif merangkumi dokumentasi, pemantauan persekitaran bilik bersih (cleanroom) dan ujian pelepasan produk (release testing) mengikut piawaian Amalan Pengilangan Baik (GMP) yang boleh mengambil masa dua hingga tiga jam.
Setiap langkah dan keputusan ujian perlu direkodkan dengan tepat bagi memastikan proses penghasilan sentiasa terkawal serta tiada pencemaran mikroorganisma yang tidak sepatutnya berlaku.
Pada masa sama, beliau perlu bertindak pantas kerana sesetengah sampel mikrobiologi mempunyai hold time atau tempoh bertahan yang singkat.
“Perkara paling penting ialah memastikan setiap peringkat proses dikawal dengan teliti dan mengikut prosedur serta standard yang ditetapkan,” jelas Encik Hanif.
“Dari sudut mikrobiologi, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah memastikan persekitaran penghasilan sentiasa terkawal, tiada pencemaran mikroorganisma yang tidak sepatutnya, dan setiap sampel yang berkaitan diuji dengan kaedah yang sesuai.
“Setiap langkah ini penting kerana keselamatan vaksin bukan bergantung kepada satu pemeriksaan sahaja, tetapi hasil daripada kawalan yang konsisten sepanjang seluruh proses,” tambah beliau.
Tugas itu dipikul oleh pasukan kecil yang terdiri daripada tiga orang – Encik Hanif, seorang rakan setugas dan ketua mereka – dengan bantuan seorang pelatih industri.
“Oleh kerana kami pasukan kecil, kami bekerja bersama-sama dan saling membantu.
“Jika ada yang bercuti, yang lain akan mengambil alih tugas itu,” katanya mengenai keakraban pasukan mereka.
Bagi Encik Hanif, pengalaman di Hilleman Laboratories juga memberi peluang untuk melihat sendiri proses pembangunan vaksin dari peringkat awal, berbeza daripada pengalamannya sebelum ini dalam penghasilan produk farmaseutikal yang sudah tersedia secara komersial.
Sebagai seorang profesional Melayu dalam bidang sains khusus ini, beliau berharap lebih ramai belia Melayu berani meneroka bidang sains dan bioteknologi.
“Nasihat paling penting ialah jangan takut untuk bermula dari bawah dan jangan berhenti bekerja keras.
“Pada masa yang sama, jangan takut untuk mencabar diri sendiri dan keluar daripada zon selesa,” nasihatnya bagi menitipkan inspirasi bagi golongan muda yang ingin cuba menceburi bidang sains.
BIODATA
Muhammad Hanif Hasan
-35 tahun
-Pakar Mikrobiologi Kawalan Kualiti (QC) di Hilleman Laboratories
-Diploma Bioteknologi Sains Hayat Politeknik Temasek; Sarjana Muda Sains Bioperubatan, Universiti Aston, United Kingdom
-Sebahagian daripada pasukan QC mikrobiologi yang terlibat dalam pembangunan vaksin Ebola
