Sakit tidak patah semangat juang ibu tunggal demi anak-anak
Sakit tidak patah semangat juang ibu tunggal demi anak-anak
Kursus niaga kecil TAA bantu kembang perniagaan bergedel dari rumah, bukti cabaran hidup bukan penghalang
Cabaran hidup yang diharungi ibu tiga anak, Cik Nurul Jamilah Rosli, tidak semudah mana diatasi dan merentap tangkai hati sesiapa sahaja yang mendengar.
Beliau mengalami masalah lutut kronik dan cakera teranjak, atau slipped disc, sehingga memaksanya menjalani beberapa pembedahan, sekali gus menjejas keupayaannya bekerja secara tetap.
Namun, semangat ibu tunggal berusia 36 tahun itu tidak pudar, demi tiga anaknya yang berusia tujuh, lapan dan sembilan tahun.
INSPIRASI JUAL TAHU BERGEDEL
Pada 2020, ketika pandemik Covid-19 melanda, Cik Nurul mengambil langkah baru, meniaga dari rumah.
Beliau mula menjual tahu bergedel di bawah jenama, ‘Budak Demoks’, yang diilhamkan daripada gelaran manja untuk anak-anaknya, yang sangat menggemari makanan tersebut.
“Pada ketika itu, saya cuba-cuba saja buat tahu bergedel untuk anak-anak. Bila mereka rasa, mereka sangat suka. Saya terfikir, mengapa tidak saya cuba jual juga sebab ini makanan kegemaran mereka?” kata Cik Nurul.
TAA SUNTIK SOKONGAN BERMAKNA
Perniagaan itu mula berkembang lebih serius pada Januari 2025.
Namun, beliau hanya mampu menjalankannya pada hujung minggu kerana hari-harinya dipenuhi dengan amanah mengurus anak-anak dan rumah serta sibuk dengan janji temu doktor.
Di sinilah, bantuan Tabung Amal Aidilfitri (TAA) sangat bermakna.
Sebagai penerima bantuan TAA, Cik Nurul berpeluang mengikuti kursus perniagaan mikro, atau kecil, anjuran syarikat kerjasama TAA.
Malah, beliau menduduki tempat ketiga dalam satu pertandingan, sale pitching (mengusul idea demi menarik jualan) untuk perniagaan tahu bergedelnya, lantas membuka peluang perniagaan itu berkembang.
Selain itu, melalui rangkaian TAA, Cik Nurul bekerjasama dengan rakan-rakannya untuk menghasilkan tahu bergedel secara bersama.
Cara itu membolehkan mereka memenuhi lebih banyak tempahan dan berkongsi keuntungan.
ANAK-ANAK KEKUATAN UTAMA
Bagi ibu tunggal seperti Cik Nurul, cabaran terbesar mereka bukan fizikal tetapi mental.
“Setiap hari, saya harus bangun pada 4.30 pagi. Cabaran yang dihadapi berbeza-beza, bergantung pada keadaan.
“Sebagai ibu tunggal, saya perlu menguruskan kesemuanya sendiri. Anak-anak kadang-kadang cerewet dan perlu disiapkan ke sekolah. Tambahan pula, bila sakit datang tiba-tiba, anak-anak pula merengek. Jadi memang agak sukar,” ujar beliau.
Namun, anak-anak tetap menjadi sumber motivasi utama Cik Nurul.
“Mereka membuatkan saya lebih kuat. Apa sahaja yang saya lakukan ialah demi mereka.
“Mereka adalah pembakar semangat saya untuk terus hidup, walau apa pun berlaku, termasuk masalah kesihatan saya,” kata beliau dengan penuh keazaman.
KONGSI SEMANGAT KEPADA IBU TUNGGAL LAIN
Nasihat beliau bagi ibu tunggal yang lain: “Jangan patah semangat. Saya berpegang pada prinsip ini, iaitu Allah tidak akan menguji hamba-Nya di luar kemampuan mereka.
“Sebesar mana pun ujian, ia bergantung pada bagaimana kita menghadapinya.
“Ambil satu langkah pada sesuatu masa. Setiap ujian yang dilalui pasti ada hikmah pada penghujungnya. Bila kita percaya benda ini, kita akan lebih kuat.”
Kisah Cik Nurul membuktikan cabaran hidup bukan penghalang kejayaan.
Dengan azam kuat, sokongan keluarga, dan semangat kental, seseorang itu berdaya mengubah dugaan menjadi peluang menuju kejayaan lebih besar.
CARA DERMA KEPADA TAA:
Layari portal www.TAA.sg untuk hulur derma anda.
Bagi setiap derma $50, penderma berpeluang menebus ‘Kapoww Sambal Series’, yang merupakan hasil sentuhan istimewa Duta Utama TAA, Cef Mel Dean, di pejabat TAA atau Geylang Serai Ramadan Bazaar.
Derma $50 dan ke atas layak mendapat potongan cukai Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) sebanyak 250 peratus.
Penderma boleh memilih untuk menderma melalui PayNow, perbankan Internet, cek atau kad kredit.
Ikuti perjalanan TAA dalam membantu insan memerlukan di Instagram: taatrustfund, Facebook: TAA Trust Fund atau YouTube: TAA Trust Fund.

