Bekas ketua komunikasi korporat Hyflux memberi keterangan bahawa beliau hanya mengetahui tentang strategi penjualan elektrik syarikat rawatan air itu bagi projek air dan kuasa bersepadu Tuaspring, selepas syarikat tersebut mengemukakan bidaan.
Cik Winnifred Heap menjadi saksi pendakwaan pada 19 Ogos dalam perbicaraan pengasas dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hyflux, Olivia Lum, dan lima eksekutif syarikat itu.
Menurut Cik Heap, beliau mengetahui tentang strategi Hyflux untuk menjual lebihan elektrik kepada grid nasional hanya selepas syarikat tersebut membuat bidaan bagi projek tersebut.
Hyflux telah mengemukakan bidaan terendah dalam kalangan sembilan pembida.
Ia bercadang menjual air kepada agensi air negara, PUB, pada harga tarif tahun pertama $0.45 setiap meter padu.
Sebaliknya, syarikat YTL Power International membuat bidaan tertinggi, iaitu pada harga hampir empat kali ganda berbanding harga Hyflux, iaitu $1.67 setiap meter padu, lapor The Business Times (BT).
Hyflux berhasrat menampung kerugian loji penapisan air laut projek Tuaspring, melalui hasil daripada penjualan elektrik yang dijana daripada loji jana kuasa projek tersebut.
Bagaimanapun, harga elektrik menjunam lebih 70 peratus antara tempoh Hyflux dinamakan sebagai pembida pilihan bagi tender Tuaspring oleh PUB pada Mac 2011, dengan masa apabila syarikat itu mula menjual elektrik pada Februari 2016.
Projek Tuaspring bukan sahaja menyebabkan kerugian pertama Hyflux, malah turut menjadi tumpuan dakwaan terhadap Olivia Lum; bekas Ketua Pegawai Kewangan Hyflux, Cho Wee Peng; dan empat pengarah bebas, iaitu, Teo Kiang Kok, Christopher Murugasu, Gay Chee Cheong, dan Lee Joo Hai dalam perbicaraan tersebut.
Mereka ingin dibicarakan atas tuduhan tidak mendedahkan maklumat penting berkaitan projek Tuaspring dalam pengumuman kawal selia pada Mac 2011, dan dalam dokumen maklumat bagi penerbitan saham keutamaan pada April 2011.
Cik Heap ditunjukkan beberapa draf pengumuman yang dibuat oleh pasukannya untuk Hyflux memenangi projek Tuaspring.
Menurut keterangan beliau, selepas menerima input daripada Lum dan Cho, rujukan kepada penjualan elektrik tersebut tidak terdapat dalam draf ketiga, berbeza dengan draf sebelumnya yang menyebut perkara itu.
“Perubahan penting” untuk tidak menyebut penjualan elektrik dalam draf terakhir dipercayai diarahkan oleh Lum dan Cho, katanya.
Beliau menambah bahawa penjualan elektrik adalah perkara penting kerana antara lain, orang awam yang melabur, termasuk penganalisis, ingin tahu harga elektrik yang dijangka dijual oleh Hyflux.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg