Topic followed successfully
Go to BHkuChee Meng: Sistem data tempatan akan bantu pandu kemahiran, pekerjaan baru dalam era AI
Chee Meng: Sistem data tempatan akan bantu pandu kemahiran, pekerjaan baru dalam era AI
Antara langkah lain diusul termasuk bantu syarikat jalani transformasi AI, sokong pekerja rebut peluang baru
Chee Meng: Sistem data tempatan akan bantu pandu kemahiran, pekerjaan baru dalam era AI
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, menyarankan pembentukan sebuah sistem data setempat bagi membimbing dan memberikan maklumat kepada syarikat dan pekerja mengenai peranan kerja yang sedang berubah, kemahiran serta peluang pekerjaan baru yang tersedia di tengah-tengah usaha negara memacu pertumbuhan ekonomi berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Berucap di Parlimen pada 5 Mei, Encik Ng berkata langkah mewujudkan sebuah sistem risikan dan ramalan pasaran seperti itu, yang disesuaikan mengikut konteks Singapura, akan memberikan maklumat yang lebih baik dan terperinci kepada majikan dan pekerja mengenai bagaimana pekerjaan akan terjejas dengan perkembangan AI dan apakah kemahiran yang diperlukan.
Sistem data sedemikian akan mengumpul pandangan daripada persatuan perusahaan mengenai bagaimana industri sedang mengamalkan AI, dan data perusahaan mengenai peralihan rekaan semula pekerjaan dan produktiviti.
Ini selain maklumat daripada kesatuan tentang keprihatinan pekerja dan bentuk peningkatan kemahiran yang berkesan.
Membentangkan usul bertajuk ‘Peralihan AI Tanpa Mengorbankan Pekerjaan’ di Parlimen, Encik Ng, yang juga Anggota Parlimen (AP) SMC Jalan Kayu, berkata:
“Ini adalah tinjauan masa hadapan dan risikan yang boleh dipercayai oleh rakyat Singapura. Ini kerana ia menggabungkan data makro dengan realiti di lapangan daripada kesatuan sekerja yang mengenali pekerja mereka, serta daripada majikan yang sedang mengemudi transformasi.
“Dengan sistem sedemikian, rakan kerjasama tiga pihak dapat memahami dengan lebih baik bagaimana pekerjaan sedang berubah.
“Syarikat dan pekerja tidak lagi akan tertanya-tanya. Mereka akan mendapat hala tuju yang lebih jelas, lebih masa untuk bersiap sedia, dan sokongan yang lebih baik untuk beralih ke peluang baru.”
Sistem data setempat itu merupakan antara empat langkah praktikal yang diketengahkan Encik Ng dalam usaha mempersiapkan syarikat dan pekerja dalam ekonomi yang diperkasa AI, dengan beliau menekankan agar tindakan proaktif dan awal diambil untuk memperjuangkan kepentingan pekerja.
Encik Ng berkata pekerja, baik golongan kolar putih mahupun biru, memerlukan jawapan dan bimbingan praktikal tentang apa yang mereka harus lakukan dalam fasa seterusnya dalam peralihan ke ekonomi yang dipacu AI.
“Bagi belia, ini bermakna isyarat lebih jelas tentang kemahiran manakah yang akan membuka pintu agar laluan latihan boleh direka dengan lebih baik untuk dipadankan dengan permintaan kerja.
“Ia juga bermakna peralihan yang kurang membimbangkan daripada sekolah ke alam pekerjaan, meskipun sedang peranan kerja di peringkat kemasukan sedang berubah.
“Bagi karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) serta pekerja kolar biru, ini bermakna bimbingan awal mengenai cara mempertingkat kemahiran, menggunakan AI untuk menyokong peranan mereka, memperluaskan skop kerja dan meningkatkan prospek kerja mereka.
“Dengan peningkatan kemahiran yang disasarkan, pekerja dapat meningkatkan nilai mereka, dan melangkah dengan yakin ke dalam peranan baru, yang direka semula, atau peranan yang berkaitan,” kata beliau.
Penyelidikan yang baik bagaimana AI akan menjejas pekerjaan juga boleh membantu mengelakkan penggubalan dasar yang reaktif, tambah Encik Ng.
Ini kerana campur tangan hanya selepas pemberhentian kerja berlaku adalah jauh lebih mahal – dari segi kewangan, ekonomi dan sosial, katanya.
“Dengan mempertingkat kemahiran pekerja sebelum peranan mereka mengecil, mereka juga jauh lebih berkemungkinan untuk kekal bekerja dan terus maju,” kata beliau.
Langkah lain yang diketengahkan Encik Ng termasuk usaha untuk membantu syarikat menjalani transformasi dengan AI dan melakukannya dalam cara yang memberi manfaat kepada pekerja, membolehkan pekerja merebut peluang baru, dan membantu pekerja yang diberhentikan untuk bangkit semula dengan maruah dan keyakinan.
Perbahasan usul itu akan diteruskan di Parlimen pada 6 Mei.
Usul tersebut dibentangkan menyusuli rang undang-undang mengenai pembentukan Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA) yang baru – diluluskan Parlimen selepas perbahasan selama lebih lima jam yang melibatkan lebih 20 AP.
Pembentukan SWDA – hasil gabungan SkillsFuture Singapura (SSG) dan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan kali pertama diumumkan semasa Belanjawan 2026 pada Februari – bertujuan menyelaras urusan pekerjaan dan kemahiran bagi rakyat Singapura dengan lebih cekap.
NTUC dalam kenyataannya mengalu-alukan dan menyokong pelulusan rang itu, yang “menandakan langkah penting dalam memperkukuh ekosistem kemahiran dan tenaga kerja Singapura”.
Timbalan Setiausaha Agung NTUC dan Pengarah Kumpulan Latihan dan Transformasi, Encik Desmond Tan, berkata:
“Dengan pekerjaan dan kemahiran berubah lebih pantas daripada sebelumnya, pekerja mahukan kejelasan, keyakinan, dan hasil nyata daripada latihan serta perancangan kerjaya mereka.
“SWDA memperkukuh sistem yang menyokong pembangunan kemahiran dan tenaga kerja, namun hasil bagi pekerja akhirnya disampaikan melalui pelaksanaan yang berkesan.”
