Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saktiandi: Susah percaya WP tidak kenal Noor Deros

Oct 14, 2025 | 8:29 PM
saktiandi supaat, grc bishan-toa payoh, Noor Deros, WP
Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat - Foto MDDI

Adalah sukar untuk mempercayai bahawa Parti Pekerja (WP), termasuk Encik Faisal Manap – calon Melayu WP bagi GRC Tampines dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) – tidak mengenali guru agama warga Singapura, Encik Noor Deros, dan implikasi sokongannya bagi parti tersebut, kata Encik Saktiandi Supaat (Bishan-Toa Payoh).

Encik Saktiandi berkata Encik Noor Deros, yang berpangkalan di Malaysia, telah menyatakan pendiriannya dengan sangat jelas dan juga mempunyai jangkauan luas di dalam talian.

“Saya fikir bahawa Anggota Parlimen (AP) Melayu daripada kedua-dua Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan WP pasti mengenali Encik Noor Deros,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika bertanyakan soalan berhubung kenyataan menteri mengenai kaum dan agama yang disampaikan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara dan Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, di Parlimen pada 14 Oktober.

Memberikan jawapan, Encik Shanmugam berkata Encik Pritam tidak menyatakan bahawa Encik Faisal mahupun calon Melayu/Islam WP yang lain tidak mengenali Encik Noor Deros.

“Jadi, jelas mereka tahu tentang (Noor Deros). Mereka bertemu dengan beliau. Apakah yang dibincangkan? Seperti yang saya katakan, kita tidak tahu,” kata Encik Shanmugam.

Beliau menambah bahawa pertemuan itu hanya diketahui setelah Encik Noor Deros menulis tentangnya di media sosial.

Dalam tempoh berkempen GE2025, isu berhubung WP dan interaksinya bersama Encik Noor Deros timbul selepas guru agama itu, antara lain, secara terbuka menyatakan di media sosial tentang senarai tuntutannya kepada parti politik sebagai pertukaran untuk mendapatkan sokongan dan mendakwa telah bertemu semua calon Melayu/Islam WP.

Pada masa yang sama, dua ahli politik Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah meluahkan sokongan kepada Encik Faisal dan memuat naik semula satu catatan media sosial yang menyatakan bahawa AP Melayu/Islam PAP tidak boleh dipercayai.

WP telah mengeluarkan kenyataan pada 26 April yang menyatakan bahawa ia tidak mempunyai sebarang perjanjian, komitmen atau persetujuan dengan mana-mana pihak, termasuk Encik Noor Deros, untuk mendapatkan sokongan politik bagi calon-calonnya di GE2025.

Parti itu turut berkata bahawa WP tidak boleh mengawal tindakan pihak asing yang menyatakan sokongan terhadap calon mereka.

Di Parlimen pada 14 Oktober, Encik Pritam berkata beliau tidak mengenali siapakah Encik Noor Deros sebelum pilihan raya.

“Saya tidak pasti sama ada menteri mengenali beliau atau kementerian mengenali beliau, melainkan beliau bersama Muis atau pernah berkhidmat dengan Muis pada satu ketika dalam beberapa kapasiti,” kata Encik Pritam.

“Namun, berkenaan isu itu, kami (WP) tidak mempunyai bilik operasi atau pejabat Pofma (Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian) untuk memantau apa orang asing atau orang bercakap tentang politik, dan di mana mereka mungkin memasuki ruang yang berbahaya,” tambah beliau.

Di bahas terakhir kenyataan menteri itu, Encik Pritam berkata perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah Encik Noor Deros mahu memajukan pandangan masyarakat yang tertentu dan WP menolaknya.

Membalas, Encik Shanmugam berkata WP tidak pernah menolak pandangan atau sokongan Encik Noor Deros, mahupun seruannya bagi penduduk Tampines mengundi Encik Faisal dan bukan calon PAP, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

“Yang paling banyak diperkatakan adalah ‘kami tidak membuat komitmen atau perjanjian’. Dan kemudian semasa pertemuan dengan media berikutnya, Encik Pritam membuat pelbagai kenyataan tentang Deros sebagai bukan sesiapa, tetapi Encik Pritam boleh memberitahu saya jika pernah ada penolakan sokongan Deros terhadap calon WP – penolakan yang jelas,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg