Setelah meraih kejayaan pada dua edisi sebelumnya, SalamFest 2025 kembali buat kali ketiga di Dewan 6B, Singapore Expo, dari 21 hingga 23 November 2025.
Acara ini menjanjikan pengalaman yang lebih meriah, terangkum dan bermakna untuk seisi keluarga.
Berbeza daripada pesta gaya hidup lain, SalamFest 2025 mengekalkan semangat gotong-royong, walaupun dianjurkan pada skala besar.
Diterajui oleh Deen Dunya Pte Ltd, festival ini menghimpunkan lebih 200 vendor runcit dan perniagaan makanan dan minuman (F&B) dari Singapura dan Malaysia, selebriti tempatan dan antarabangsa, asatizah, serta pertubuhan pendidikan dan kebajikan.
Ia juga bertujuan mewujudkan satu platform masyarakat Islam yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut Pengasas dan Pengarah Urusan Deen Dunya Pte Ltd serta Pengasas SalamFest, Cik Aida Suhaimi, 36 tahun, SalamFest bukan sekadar satu acara santai, tetapi wadah memperkukuh perpaduan warga Islam dalam suasana harmoni dan penuh bermakna.
“Matlamat utama SalamFest bukan sekadar hiburan, tetapi untuk memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat Muslim menerusi suasana positif dan penuh nilai.
“Tahun ini (2025), kami amat tersentuh melihat semangat sukarela daripada vendor, penaja dan penganjur kegiatan kanak-kanak. Inilah semangat masyarakat yang ingin kami semarakkan melalui SalamFest.
“Kami juga berbesar hati dapat bekerjasama dengan Adi Media Pte Ltd dalam menjayakan edisi kali ini. Pertapis Education and Welfare Centre pula merupakan badan kebajikan penerima manfaat, melalui kempen ‘Upgrade our Homes, Uplift Lives’ yang bertujuan menaik taraf rumah kebajikan di bawah naungan mereka,” jelas Cik Aida.
Antara tarikan utama SalamFest 2025 ini ialah Pameran Interaktif Sirah Rasulullah saw, persembahan istimewa daripada artis Ziana Zain, Tomok, dan Ezad Lazim, serta penampilan khas oleh Aliff Syukri, Qawiy; dan selebriti tempatan seperti Sujimy Mohamad dan Haslinda Ali, Diyana Halik, Fatimah Mohsin, Nadiah M Din, Marina Yusoff, Shenty Feliziana, dan Norfasarie.
Selain persembahan hiburan, para artis turut berkongsi kisah penghijrahan, cabaran kesihatan mental dan kehidupan keluarga mereka dalam segmen ‘Deen Reminders’ , satu sesi yang menggabungkan inspirasi, pengajaran dan nilai kerohanian.
Turut menyemarakkan suasana ialah barisan asatizah tempatan seperti Ustazah Shameem Sultanah, Ustazah Liyana Musfirah, Ustaz Zahil Zakaria, Ustaz Nuzhan Abdul Halim, Ustazah Su’aidah Salim dan Ustazah Atiqah Suhaimi.
Antara program yang dinanti-nantikan ialah pertandingan azan dan tilawah Al-Quran, yang dijangka menarik penyertaan ramai peserta muda.
“Saya sangat teruja untuk menyertai SalamFest buat pertama kali! Tak sabar nak berjumpa dengan semua peminat di Singapura.
“Saya akan buat persembahan dan juga berkongsi sedikit tentang perjalanan hijrah saya. Harap semua dapat hadir dan memeriahkan SalamFest bersama-sama,” kata Ezad Lazim daripada kumpulan Exists.
Setiap hari, 500 pengunjung pertama akan menerima beg hadiah eksklusif Deen Dunya, dengan sumbangan produk daripada Vitagen, Marigold, El Nahl dan rakan penaja lain.
Kanak-kanak pula boleh menikmati istana lantun atau ‘bouncy castle’, sesi penceritaan, permainan realiti terimbuh (AR) serta pelbagai kegiatan interaktif tajaan Little Imtiyaz Centre, Little Quran Kids dan Camel Caravan.
Pengunjung juga berpeluang memenangi pakej umrah tajaan syarikat Karva Travel & Tours serta baucar Deen Dunya bernilai $1000.
“Masya-Allah, masih terasa terharu dan bersyukur atas rezeki ini. Menang pakej umrah tahun 2024 benar-benar mengubah hidup saya. Sampai sekarang masih rasa meremang bila mengenangkan pengalaman itu,” ujar Cik Sri Utami Sjaiful Bahri, pemenang Umrah Giveaway SalamFest 2024.
Sebagai pengunjung setia sejak 2023, Cik Nurul Izzah Saifuddin turut berkongsi keterujaannya:
“Saya sentiasa menantikan acara gah SalamFest setiap tahun, terutamanya kerana vendor yang menarik dan persembahan hebat. Tak selalu kita dapat saksikan artis ternama beraksi secara percuma!
“Saya juga sangat menghargai ceramah-ceramah motivasi daripada asatizah yang memberi inspirasi dan menyentuh hati ini.”
Dengan gabungan hiburan, pendidikan dan nilai kemasyarakatan, SalamFest 2025 menjadi lambang bagaimana semangat gotong-royong dan kasih masyarakat mampu melahirkan sesuatu yang luar biasa.
Deen Dunya turut membuka reruai khas di SalamFest 2025 dengan pelbagai promosi istimewa termasuk barangan umrah, telekung, sejadah, abaya, serta produk keluaran Siti Nurhaliza seperti SimplySiti, BeauSiti dan Aafiya, semuanya ditawarkan dengan diskaun eksklusif sepanjang acara.
Deen Dunya dan SalamFest saling melengkapi.
Deen Dunya menerusi produk gaya hidup Islam moden, manakala SalamFest melalui pengalaman masyarakat yang menyatukan ilmu, nilai dan inspirasi.
Bersama, kedua-duanya mengangkat misi untuk memartabatkan gaya hidup Islam yang moden, positif dan menyeluruh.
SalamFest 2025 diadakan pada 21 hingga 23 November 2025, bermula dari 10 pagi hingga 10 malam. Bertempat di Dewan 6B, Singapore Expo, masuk adalah percuma.
Ikuti perkembangan terkini di media sosial: @salamfestsg dan @deen.dunya.sg
Acara ini ditaja oleh:
RTD Huttons Focus Group, Karva Travel & Tours, LMR Bullion, El Nahl Honey, BIBIK2GO SG, Taqwa Organisation, Vitagen dan Marigold.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg