Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Salesforce akan labur AS$1b di S’pura, majukan inovasi melalui hab penyelidikan

Turut kerjasama dengan SIA bangunkan AI bagi industri penerbangan
Mar 12, 2025 | 4:19 PM
Pelaburan yang dibuat bertujuan sokong pertumbuhan pelanggan Salesforce di rantau ini.
Pelaburan yang dibuat bertujuan sokong pertumbuhan pelanggan Salesforce di rantau ini. - Foto REUTERS

Syarikat perisian yang disenaraikan di Amerika Syarikat, Salesforce, pada 12 Mac mengumumkan rancangan untuk melabur AS$1 bilion ($1.33 bilion) di Singapura dalam tempoh lima tahun bagi memajukan inovasi melalui hab penyelidikannya di Singapura.

Syarikat yang berpangkalan di San Francisco itu juga berkata ia akan bekerjasama dengan Singapore Airlines (SIA) untuk membangunkan penyelesaian kecerdasan buatan (AI) untuk syarikat penerbangan.

Pelaburan itu bertujuan menyokong pertumbuhan pelanggan Salesforce di rantau ini dan mengembangkan produk tenaga kerja digital mereka, Agentforce. 

Agentforce menggunakan ejen AI untuk melakukan tugas seperti khidmat pelanggan.

Hab penyelidikan ini, yang ditubuhkan di Singapura pada 2019, adalah hab penyelidikan AI pertama syarikat di luar Amerika, lapor The Business Times (BT).

Salesforce berkata Singapura adalah “pasaran pertumbuhan penting” yang memainkan “peranan penting” dalam memacu inovasi Agentforce.

Syarikat itu akan mengembangkan perkhidmatan platform Hyperforce di Singapura untuk menyimpan data tempatan bagi Agentforce.

Mereka juga akan menaik taraf pejabat di Singapura dengan ruang baru untuk kegiatan Agentforce dan program peningkatan kemahiran.

Pengarah urusan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) Singapura, Encik Jermaine Loy, berkata pelaburan itu akan “menguatkan usaha berterusan” untuk membangunkan hab inovasi dan penerimaan AI.

Sementara itu, Salesforce akan bekerjasama dengan SIA untuk membangunkan penyelesaian bagi industri penerbangan di hab penyelidikan AI mereka di Singapura.

SIA berkata ia akan menggunakan Agentforce untuk memudahkan operasi khidmat pelanggan dan memberi peluang kepada wakil khidmat pelanggan untuk memberi perhatian yang lebih baik dan peribadi kepada pelanggan.

Keupayaan Agentforce akan diperkukuhkan oleh Data Cloud – enjin data berskala besar yang dibina dalam Salesforce untuk menggabungkan data relevan dan meningkatkan fungsi agen AI platform tersebut.

SIA juga akan menggunakan Einstein, alat AI generatif dalam unit Service Cloud, untuk merumuskan interaksi pelanggan sebelum ini dan membantu wakil khidmat pelanggan memberi bantuan.

SIA akan menggabungkan lebih banyak alat Salesforce dalam sistem pengurusan kes pelanggan untuk memberikan perkhidmatan yang lebih tekal dan peribadi.

Salesforce telah melabur di Singapura selama hampir dua dekad dan antara pelanggannya termasuk Grab, M1, Kumpulan FairPrice dan jenama peralatan rumah, Prism.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg