Kini, orang ramai boleh melaporkan perkhidmatan e-hailing (menempah kenderaan secara dalam talian) haram melalui borang dalam talian baharu yang dilancarkan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) di laman OneMotoring.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada tindakan tegas LTA terhadap pemandu tanpa lesen yang menawarkan perkhidmatan penghantaran dalam Singapura serta perjalanan silang sempadan ke Malaysia, lapor The Straits Times (ST).
Platform pelaporan ini mula beroperasi pada 20 Julai dan semua laporan akan digunakan untuk siasatan. Setakat 23 Julai, LTA belum menerima sebarang laporan menerusi saluran baru ini.
Menteri Negara Kanan (Pengangkutan), Cik Sun Xueling, memaklumkan melalui Facebook pada 23 Julai bahawa saluran ini disediakan untuk menyalurkan maklumat mengenai kereta berdaftar luar negara yang menawarkan perkhidmatan e-hailing.
“Mari kita bekerjasama melindungi kepentingan penumpang dan pemandu,” tambahnya.
Operasi penguatkuasaan dijalankan pada 11 dan 18 Julai, di mana 32 individu ditahan di Lapangan Terbang Changi dan Gardens by the Bay kerana menawarkan perkhidmatan haram.
Kenderaan mereka telah disita. Sebelum ini, mereka telah menawarkan perkhidmatan dalam negara serta rentas sempadan.
Dalam kenyataan Facebook berasingan pada 23 Julai, Cik Yeo Wan Ling, penasihat Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA), menyatakan inisiatif ini akan “meningkatkan pencegahan, penguatkuasaan, dan masa tindak balas terhadap pemandu tanpa lesen”.
“Perkhidmatan haram ini berbahaya kerana tiada insurans dan piawaian keselamatan, yang menyebabkan risiko kepada penumpang tanpa perlindungan. Ia juga merosakkan profesionalisme industri dan menjejaskan pendapatan pemandu berlesen,” tambah beliau.
Undang-undang sedia ada mengkehendaki semua kenderaan memiliki Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSVL) untuk menjalankan perkhidmatan pengangkutan dan rentas sempadan.
Pesalah boleh dikenakan denda sehingga $3,000, penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya. Kenderaan boleh disita.
Perkhidmatan rentas sempadan hanya dibenarkan kepada teksi berlesen dari Singapura dan Malaysia serta diluluskan pihak berkuasa; pemandu Malaysia juga memerlukan Permit Kenderaan Perkhidmatan Awam Asean.
Pada 19 Julai, LTA menasihati orang ramai agar tidak menggunakan perkhidmatan e-hailing haram kerana masalah keselamatan dan kekurangan insurans yang mencukupi.
Penumpang juga mungkin tidak dapat meneruskan perjalanan apabila tindakan penguatkuasaan dijalankan.
LTA turut menekankan kesan buruk kepada pemandu berlesen. Sejak 2022, 104 pemandu telah ditahan kerana menggunakan kenderaan berdaftar luar negara untuk perjalanan rentas sempadan tanpa kebenaran.
Mereka yang disabitkan kesalahan dikenakan denda sehingga $2,600 dan kenderaan mereka disita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg