Seramai empat pemandu ditangkap oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 11 Februari kerana menawarkan khidmat tempahan pengangkutan secara haram di Singapura dan juga perjalanan rentas sempadan.
Dalam satu hantaran di media sosial, LTA menyatakan kenderaan berdaftar asing yang digunakan oleh pemandu-pemandu tersebut telah disita.
Kenderaan itu digunakan untuk menyediakan pengangkutan di dalam Singapura, serta khidmat ulang alik Malaysia.
Video yang disertakan dalam hantaran itu menunjukkan beberapa kenderaan pelbagai guna (MPV) sedang ditarik dari kawasan perumahan.
LTA mengingatkan orang ramai agar tidak menggunakan khidmat tempahan pengangkutan secara haram yang tidak mempunyai lesen dan insurans yang sah. Ini boleh mendatangkan “risiko serius” kepada penumpang jika berlaku kemalangan.
“Kami akan terus mengambil tindakan terhadap pemandu yang menawarkan khidmat tersebut, termasuk perjalanan rentas sempadan tanpa Lesen Kenderaan Khidmat Awam (PSVL) yang sah,” kata agensi itu.
Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga $3,000, hukuman penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya. Kenderaan mereka juga boleh dirampas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg