Sambutan Bulan Bahasa 2025 bukan sekadar meraikan bahasa Melayu tetapi turut mencerminkan perubahan sosial yang sedang berlaku di Singapura.
Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, semasa acara pelancaran Bulan Bahasa 2025 di Mediacorp pada 29 Ogos.
Mengulas lebih lanjut, Encik Zhulkarnain berkata bertepatan dengan ulang tahun kemerdekaan Singapura yang ke-60 (SG60), Bulan Bahasa edisi 2025 memberi penekanan kepada peranan bahasa Melayu sebagai alat perpaduan yang menyatukan masyarakat berbilang kaum.
Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang itu berkata: “Tahun ini, kita menitikberatkan penggunaan bahasa sebagai satu alat perpaduan dan bagaimana bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa perantaraan dan bahasa kebangsaan untuk menyatukan semua masyarakat dalam membina negara kita.”
Usaha itu menunjukkan bahawa “bahasa Melayu itu bahasa kebangsaan dan bahasa kebanggaan semua yang mampu menyatukan semua masyarakat di Singapura,” tambahnya.
Di samping SG60, kelainan dan keunikan tahun ini turut terserlah melalui penglibatan yang lebih meluas, “bukan sahaja daripada masyarakat Melayu, malah masyarakat berbilang kaum”, kata Encik Zhulkarnain.
Ini termasuk murid-murid sekolah yang kebanyakannya bukan daripada kaum Melayu, tetapi menggunakan bahasa Melayu dan meraikan warisan serta tradisi bangsa Melayu.
Begitu juga dengan pelbagai kegiatan yang dianjurkan di kelab-kelab masyarakat yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang bukan Melayu.
Perluasan itu memastikan “ada sesuatu untuk semua lapisan masyarakat”, kata Encik Zhulkarnain.
Kepelbagaian program Bulan Bahasa 2025 termasuk yang melibatkan sastera, persembahan seni dan kegiatan kekeluargaan yang sesuai untuk semua peringkat umur, tambah beliau.
Pendekatan baru, yang beliau sifatkan sebagai “satu penyuntikan inovatif yang segar”, turut digunakan bagi mendekati khalayak, termasuk memanfaatkan media sosial dan menggalak penyertaan golongan belia dalam menganjurkan kegiatan serta memberi maklum balas secara langsung.
“Banyak kegiatan menyeluruh yang dianjurkan oleh belia kita sendiri… mereka nak lihat bagaimana kita boleh perkembangkan lagi Bulan Bahasa ini untuk masa akan datang,” katanya.
Usaha sedemikian, yang melibatkan semua lapisan masyarakat, selari dengan ucapan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang berkata bahasa ibunda yang berbeza tidak memecahbelahkan masyarakat, malah menyatupadukannya.
Encik Zhulkarnain menambah bahawa bahasa Melayu, sebagai bahasa kebangsaan, terus menjadi bahasa kebanggaan bersama yang memainkan peranan penting sejak awal pembentukan negara.
“Ini memartabatkan dan memasyarakatkan bahasa Melayu dalam negara kita. Sejak 60 tahun lalu, ia menjadi bahasa perantaraan yang menyatupadukan masyarakat kita semasa membina negara. Hingga hari ini, ia kekal sebagai lambang kebanggaan,” ujar Encik Zhulkarnain.
Turut hadir dalam acara pelancaran itu ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg