Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Santuni masyarakat melalui sentuhan terkini

Tonjol pendekatan dakwah terangkum sempena ‘The Wedding Affair & Halal Expo 2025’
Jun 20, 2025 | 5:30 AM
Gema Selawat, singapore expo, masjid ar-raudhah
Hadirin turut dihiburkan dengan persembahan kerohanian, ‘Gema Selawat’, bagi menambahkan keberkatan sepanjang acara tiga hari di Singapore Expo. - Foto MASJID AR-RAUDHAH

Masjid Ar-Raudhah telah mengambil satu langkah proaktif dan berwawasan dengan menyertai acara, ‘The Wedding Affair & Halal Expo 2025’.

Acara itu berlangsung selama tiga hari, bermula 13 hingga 15 Jun 2025 di Singapore Expo.

Penyertaan tersebut menandakan iltizam berterusan masjid memperluaskan peranannya dan mendekati masyarakat Islam di sini.

Dengan kerjasama pihak penganjur, MegaExpress International Pte Ltd, yang diasaskan oleh Encik Hamzah Abdullah, Masjid Ar-Raudhah mengambil peluang mengetengahkan pelbagai daya usaha keagamaan dan sosial yang memberi manfaat kepada pengunjung daripada pelbagai latar belakang.

Acara itu turut disertai peniaga dan syarikat dari dalam dan luar negara, vendor halal, penyedia khidmat perkahwinan, serta institusi lain yang menjadikan pameran tersebut sebagai wadah keperluan rohani serta gaya hidup moden yang sihat.

Pendekatan terangkum dan menyeluruh

Masjid Ar-Raudhah telah menganjurkan pelbagai kegiatan sepanjang pameran yang menyasarkan untuk mendekati masyarakat dengan cara yang lebih mesra dan kontemporari.

Antara program yang berjaya menarik perhatian pengunjung ialah:

1. Forum wakaf – Sesi interaktif yang membincangkan kepentingan wakaf dalam pembangunan mesyarakat dan keberkesanan pengurusan aset wakaf dalam konteks tempatan.

2. Gema Al-Quran & gema selawat – Bacaan Al-Quran dan selawat secara beramai-ramai bagi menyemarakkan lagi suasana rohani sepanjang acara.

3. Ceramah kesihatan & senaman sihat – Program kesedaran yang mengetengahkan kepentingan menjaga kesihatan jasmani sebagai sebahagian daripada gaya hidup seperti disarankan Islam.

Menurut Pengerusi Eksekutif Masjid Ar-Raudhah, Encik Zuraimi Abdul Basheer, penyertaan masjid dalam wadah seperti itu penting bagi menjadikan institusi masjid lebih bersifat terangkum dan berupaya menyantuni seluruh lapisan masyarakat.

“Kami melihat ini sebagai satu peluang menyampaikan dakwah dengan lebih terbuka dan berinteraksi dengan masyarakat dalam suasana santai tetapi penuh makna.

“Masjid bukan hanya tempat ibadah, malah pusat interaksi sosial dan pembangunan insan,” ujar Encik Zuraimi.

Sambutan positif dan sokongan sukarela

Antara yang mencuri tumpuan ramai ialah penyertaan seramai 40 sukarelawan warga Bangladesh dalam program, ‘Gema Selawat’.

Kehadiran mereka bukan sahaja menyerikan acara, bahkan turut menyampaikan mesej perpaduan ummah dan semangat kesukarelawanan rentas budaya.

Pihak masjid turut menyatakan rasa terharu atas komitmen mereka yang hadir dengan penuh semangat dan kerjasama.

Di samping itu, reruai Masjid Ar-Raudhah menerima kunjungan yang menggalakkan daripada orang ramai yang hadir untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang perkhidmatan masjid, berwakaf dan memberikan sumbangan.

Sambutan itu memperlihatkan kepercayaan masyarakat terhadap usaha masjid dalam memperkukuh jaringan sokongan sosial dan rohani.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat positif.

“Kami amat berbesar hati melihat masjid-masjid lain turut berganding bahu, meluangkan masa dan tenaga untuk memberikan sokongan. Ini mencerminkan semangat kebersamaan dalam menyebarkan dakwah dan memperkukuh hubungan sesama masyarakat,” jelas Encik Zuraimi.

Masjid Ar-Raudhah turut merakamkan penghargaan kepada penaja iaitu syarikat AGSH Builders, yang menyumbangkan bahan promosi seperti standee banner (sepanduk berdiri) dan fridge magnet (magnet peti sejuk).

Sumbangan itu bukan sahaja membantu dari segi logistik dan promosi, malah mencerminkan sinergi antara sektor korporat dengan institusi keagamaan dalam menjayakan misi sosial dan dakwah.

Penyertaan itu membuktikan pendekatan dakwah tidak lagi terhad kepada ceramah atau kuliah semata-mata, tetapi perlu dilaksanakan secara holistik, terangkum dan kreatif.

Ia juga membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara masjid dengan pelbagai pihak dalam menyampaikan mesej Islam yang rahmah dan membina masyarakat yang lebih peka dan prihatin.

Dengan pencapaian itu, Masjid Ar-Raudhah berharap dapat meneruskan penglibatan dalam lebih banyak wadah masyarakat bagi memperluaskan lagi jangkauan dakwah serta menyediakan perkhidmatan relevan dan berimpak tinggi kepada masyarakat setempat.

“Kami berharap usaha ini akan membuka lebih banyak pintu kerjasama dan menyuntik inspirasi kepada institusi-institusi lain agar turut serta menjadikan masjid sebagai pusat transformasi masyarakat,” tambah Encik Zuraimi.

Masjid Ar-Raudhah beriltizam akan terus bergerak ke hadapan sebagai institusi bergerak maju dan dinamik, selaras dengan aspirasi masyarakat Islam Singapura yang bersatu dalam kepelbagaian.

SEKILAS:

Cara menghulur sumbangan kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:

1. PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan rujukan. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.

2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.

3. Cek atas nama ‘Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah’ dan kirimkan ke alamat 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg