Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saranan kekal sihat, selamat semasa cuti akhir tahun

Antara saranan Agensi Penyakit Berjangkit termasuk cegah penyakit melalui vaksin, ambil langkah berjaga-jaga, serta jaga kebersihan makanan
Dec 9, 2025 | 2:00 PM
CDA, cuti hujung tahun, Profesor Lim Poh Lian
Profesor Madya Lim Poh Lian, Pengarah Kumpulan Program Penyakit Berjangkit di Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) berkongsi panduan penting untuk pelancong, menggalakkan pencegahan melalui vaksin dan mengambil langkah berjaga-jaga. - Foto BH oleh KHALID BABA

Sempena musim cuti akhir tahun ini, pelancong dari Singapura yang merancang ke luar negara disarankan mendapatkan penilaian perubatan sekurang-kurangnya enam minggu sebelum tarikh perjalanan.

Demikian nasihat Profesor Madya Dr Lim Poh Lian, Pengarah Kumpulan Program Penyakit Berjangkit di Agensi Penyakit Berjangkit (CDA).

Profesor Lim, yang menggariskan kepentingan mengambil langkah berjaga-jaga sebelum melancong ke luar negara, berkata:

“Secara idealnya, langkah perlu diambil empat hingga enam minggu sebelum melancong. Ini juga bergantung pada destinasi dan jenis kegiatan yang akan dilakukan.

“Kadangkala, lebih daripada satu dos vaksin diperlukan, jadi (jika diambil) lebih awal, lebih baik.

“Bagaimanapun, mengambil langkah pencegahan, walau beberapa hari sebelum melancong, adalah lebih baik daripada tiada langsung.”

Dalam wawancara bersama media mengenai panduan kesihatan luar negara dan amalan kebersihan musim perayaan, yang diadakan pada 5 Disember di pejabat agensi itu di Thomson Road, Profesor Lim menjelaskan bahawa persediaan awal membolehkan pegawai kesihatan memberikan nasihat yang bersesuaian dengan keadaan kesihatan individu, serta mencadangkan suntikan vaksin yang wajib dan ubat-ubatan pencegahan yang diperlukan.

Beliau turut menekankan kaitan antara virus pernafasan dan jadual cuti.

“Di Singapura, virus pernafasan (respiratory) bermusim biasa, seperti influenza, tersebar sepanjang tahun, dengan kemuncak jangkitan berlaku sekitar Mei hingga Ogos dan Disember hingga Mac.

“Ini bertepatan dengan bulan yang lebih sejuk di hemisfera utara dan selatan, serta tempoh cuti sekolah di Singapura.

“Justeru, vaksinasi influenza sebelum perjalanan amatlah penting, terutamanya bagi mereka yang melawat destinasi bermusim,” jelasnya.

Amaran demam kuning dan langkah pencegahan

Profesor Lim juga menasihati mereka yang ingin melancong ke destinasi eksotik supaya lebih berhati-hati dan mendapatkan sijil vaksinasi untuk mencegah demam kuning sebelum berlepas.

Menurut beliau, demam kuning adalah penyakit bawaan virus yang tiada ubatnya dan tular melalui gigitan nyamuk.

Kesan jangkitannya termasuk demam tinggi, serta mata dan kulit menjadi kuning akibat fungsi hati yang berkurangan.

“Semakin ramai warga Singapura kini menjelajah lebih jauh, ke destinasi eksotik terutamanya selepas pandemik Covid-19.

“Kami menyeru pelancong agar lebih peka tentang keperluan ini dan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya,” kata Profesor Lim.

Laman web Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) mengesahkan bahawa Singapura adalah negara bebas daripada demam kuning.

Namun, sebagai langkah berhati-hati, pengembara tanpa sijil vaksinasi demam kuning yang sah (contohnya, individu yang tidak divaksinasi, termasuk mereka yang tidak layak menerima vaksinasi seperti kanak-kanak berumur satu tahun ke bawah dan individu dengan kontraindikasi, serta pengembara yang sijilnya belum menjadi sah), boleh dikenakan kuarantin di bawah Akta Penyakit Berjangkit, selama enam hari dari tarikh berlepas dari negara-negara yang berisiko penularan demam kuning.

Negara berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan demam kuning termasuk beberapa negara di Afrika Selatan seperti Nigeria, Sudan, Ghana, serta Brazil, Bolivia dan Colombia di Amerika Selatan.

Prof Lim juga menggesa warga Singapura untuk menyemak keadaan kesihatan dan syarat kemasukan bagi negara ditujui.

Ini kerana sesetengah negara mungkin mewajibkan bukti vaksinasi bagi penyakit seperti demam kuning dan meningokokus sebelum dibenarkan masuk.

Penyakit meningokokus disebabkan oleh bakteria, Neisseria meningitidis, dan tersebar melalui titisan pernafasan sesuatu yang sangat sukar dielakkan dalam keadaan berhimpit-himpit.

Selain demam kuning, Profesor Lim juga memberi amaran terhadap penyakit malaria dan demam kepialu (typhoid) yang kadang-kala di bawa pulang oleh penduduk Singapura :

“Lima kes malaria dan 14 kes kepialu yang berkaitan dengan lawatan luar negara telah dilaporkan pada tahun 2024.”

Kit Kesihatan dan Penilaian Risiko Diri

Selain vaksin, Profesor Lim turut menyarankan pelancong menyediakan kit kesihatan perjalanan untuk dibawa sepanjang waktu berada di luar negara.

Kit kesihatan boleh diisi dengan ubat-ubatan, termasuk ubat keperluan peribadi dan ubat pencegahan, kit pertolongan cemas, pencegah serangga yang berkesan, tablet iodin dan penapis air mudah alih untuk membersihkan air, serta pembersih tangan berasaskan alkohol yang mengandungi sekurang-kurangnya 60 peratus alkohol.

“Semasa perjalanan, pelancong juga harus peka untuk kekal selamat, seperti menjaga kebersihan diri, memastikan keselamatan makanan dan air, serta mencegah gigitan serangga,” tambah Profesor Lim, sambil menegaskan bahawa penilaian risiko diri adalah penting apabila berada di tempat asing.

“Pelitup muka bukan lagi satu kewajipan, tetapi terpulang kepada individu untuk menggunakannya jika mereka rasa lebih selamat,” nasihat beliau, khususnya kepada golongan yang mudah diserang penyakit, terutamanya kanak-kanak, warga emas atau mereka yang mempunyai imuniti rendah.

Profesor Lim turut menasihati orang ramai untuk segera mendapatkan nasihat doktor sekiranya mengalami gejala seperti demam panas dengan suhu tinggi dan cirit-birit sekembalinya daripada perjalanan, demi ketenangan fikiran dan sebagai langkah berhati-hati.

Penjagaan kebersihan makanan musim perayaan

Sempena persiapan untuk sambutan perayaan akhir tahun, Cik Lalitha Kurupatham, Pengarah Divisyen Makanan dan Vektor, Agensi Penyakit Berjangkit (CDA), menekankan kepentingan penjagaan kebersihan untuk mencegah penyakit bawaan makanan seperti keracunan makanan atau gastroenteritis (disebabkan oleh salmonela atau norovirus), akibat kuman merebak melalui permukaan dapur yang kotor, makanan mentah, dan tangan yang tidak dicuci.

Beliau menegaskan kepada orang awam untuk mengamalkan pencucian tangan dan menjaga kebersihan makanan yang ketat sebagai langkah perlindungan diri untuk mengelakkan penyakit dan keracunan.

AMALAN SALAH DAN CARA BETUL

Elak rendam makanan mentah yang beku pada suhu lebih daripada 5 darjah Celsius

– Sebaliknya, nyahbekukan di dalam ruang penyejuk peti sejuk, atau gunakan ketuhar mikro untuk cepatkan proses

Pisahkan papan pemotong

– Jangan gunakan papan pemotong yang sama untuk makanan mentah dan makanan yang dimasak

Kawal masa dan suhu makanan

– Makanan yang dimasak hanya boleh dibiar pada suhu bilik dengan selamat tidak lebih empat jam

Cara panaskan semula sisa makanan

– Panaskan semula sisa makanan sehingga capai suhu mendidih atau sangat panas. Tidak disarankan untuk panaskan semula lebih dari sekali

Kain dapur dan span kotor

– Basuh dan basmi kuman pada kain dapur setiap hari; ganti span sekurang-kurangnya setiap minggu

Perlindungan kumpulan yang mudah diserang penyakit

– Pastikan makanan disajikan segera dan asingkan makanan yang mungkin berisiko tinggi, seperti telur mentah atau separuh masak, untuk kanak-kanak dan warga emas

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg