Lebih 12,000 murid Darjah 6 akan dapat mengambil pek sarapan percuma di kedai serbaneka Cheers dan FairPrice Xpress di serata Singapura pada 3 dan 4 September.
Dalam satu kenyataan pada 21 Ogos, Kumpulan FairPrice (FPG) berkata daya usaha, Kelab Sarapan Cheers, yang memasuki tahun kedua, bertujuan menyokong murid-murid tatkala mereka bersiap sedia menghadapi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), lapor The Straits Times (ST).
Setiap pek, yang bernilai lebih $20, akan mengandungi buah-buahan segar, roti mil penuh atau ‘wholemeal’, ekstrak ayam, Milo dan bijirin sarapan.
Pek tersebut juga akan mengandungi kupon untuk makanan sarapan lain, seperti yogurt dan sandwic, serta aiskrim percuma.
Kupon aiskrim itu boleh digunakan dari 8 September hingga 1 Oktober di cawangan terpilih.
Murid Darjah 6, atau ibu bapa mereka, boleh menunjukkan kad pelajar atau slip peperiksaan PSLE untuk mengambil pek sarapan di 113 cawangan yang mengambil bahagian di serata Singapura.
Setiap murid boleh mendapat satu pek sarapan yang akan diagih berdasarkan sistem ‘siapa cepat dia dapat’.
Menurut FPG, semua 12,000 pek diambil dalam tempoh kurang dua hari pada 2024.
Pada 2025, lebih 1,000 pek akan diperuntuk bagi pelajar penerima manfaat badan amal seperti Yayasan Mendaki, Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC) dan Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda).
Menurut laman web Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB), peperiksaan bertulis PSLE akan berlangsung dari 25 September hingga 1 Oktober.
Satu acara pelancaran akan diadakan di cawangan Cheers di Ang Mo Kio Hub pada 3 September dari 2 petang hingga 4 petang.
Seramai 50 murid pertama yang mengambil pek sarapan di acara itu akan menerima kad eksklusif yang ditandatangani oleh deejay (DJ) Joakim Gomez, yang akan membuat penampilan khas.
Untuk memberi dorongan kepada pelajar sebelum PSLE, terdapat juga kuiz yang akan dikendalikan olehnya.
FPG juga akan menawarkan diskaun produk bertema kesihatan dan kesejahteraan untuk menjadikan pemakanan yang baik lebih dimampui murid dan keluarga mereka semasa tempoh peperiksaan.
Tawaran itu boleh diperolehi secara eksklusif di FairPrice Online dari 16 Ogos hingga 12 Oktober.
Pembeli boleh menikmati penjimatan hingga 38 peratus bagi pilihan produk seperti Brand’s Essence of Chicken, produk Eu Yan Sang, susu, buah-buahan segar, dan sayur-sayuran.
Pilihan produk akan dikemas kini setiap Sabtu.
Terdapat juga promosi dalam talian tambahan untuk beberapa produk Brand’s dan Eu Yan Sang dari 1 September hingga 31 Oktober.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg