JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor sedang berunding dengan pelabur untuk meningkatkan kadar gaji pekerja tempatan yang bekerja di kawasan pelaburan di negeri itu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata beberapa sektor pekerjaan sedang dikaji untuk kadar gaji yang lebih tinggi dan munasabah.
Katanya langkah itu dapat menarik minat anak muda untuk bekerja di negeri sendiri, sekali gus dapat menyelesaikan masalah kesesakan di Tambak Johor di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Linkedua di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) setiap hari.
“Apabila sudah sediakan semua kemudahan infrastruktur, kos berniaga di Johor juga rendah 70 peratus lagi murah dari negara jiran.
“Kenapa tidak boleh naikkan gaji anak muda? Kami sedang berunding dan berusaha ke arah itu. Contoh sektor kecerdasan buatan (AI) kalau di Johor gaji mula ialah RM4,000 ($1,158). Kalau di Singapura dibayar $4,000.
“Kalaulah gaji seperti itu dapat dibayar di Singapura, kenapa tidak boleh gaji dibayar tinggi sikit di Johor? Kita sedang melihat beberapa sektor pekerjaan.
“Bayaran gaji perlu dibayar 50 peratus bermaksud RM7,000 di Johor, jika $4,000 dibayar kepada pekerja di Singapura.
“Faktor tarikan tinggi adalah gaji yang tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Gerak Kerjaya Mega Johor 2024 (Gegar 2024), lapor Berita Harian Malaysia.
Berita Minggu pada 28 Julai melaporkan sekitar 350,000 pekerja Malaysia menyeberangi Tambak dan menempuh jalan raya yang sesak hampir setiap hari – dengan menaiki kenderaan sendiri mahupun pengangkutan awam – demi mengejar ‘durian runtuh’ di Singapura, iaitu gaji yang lumayan.
Mengulas lanjut, Datuk Onn Hafiz memaklumkan dalam menjayakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kerajaan negeri memberi segala kemudahan agar pelabur datang dan berniaga di Johor termasuk mengurangkan kerenah birokrasi.
“Pelabur hanya memerlukan 12 bulan untuk tempoh kertas kerja sehingga kilang mereka dibina. Saya berunding dengan syarikat pelabur dari Singapura, Britain, Australia, China serta Eropah dan mereka berpuas hati dengan gerak kerja membantu mereka masuk melabur di sini,” katanya.
Pada Mei lalu, Datuk Onn Hafiz memaklumkan, JS-SEZ dijangka dibangunkan di kawasan Iskandar Malaysia dan Pengerang membabitkan keluasan 3,505 kilometer persegi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg