Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sats labur lebih $250j pertingkat operasi, prasarana kendali kargo di Changi

Dana akan gunakan pertingkat kemahiran tenaga kerja, manfaat teknologi seperti kenderaan autonomi dan AI
May 15, 2025 | 6:41 PM
Lebih $150 juta daripada pelaburan $250 juta yang dibuat oleh Sats akan diperuntukkan untuk memperbaharui lebih 500 kenderaan komersial dan peralatan khusus dari 2025 hingga 2029.
Lebih $150 juta daripada pelaburan $250 juta yang dibuat oleh Sats akan diperuntukkan untuk memperbaharui lebih 500 kenderaan komersial dan peralatan khusus dari 2025 hingga 2029. - Foto ZAOBAO

Syarikat penyedia khidmat kargo udara dan pengurusan di lapangan terbang, Sats, akan melabur lebih $250 juta dalam tempoh lima tahun akan datang untuk mempertingkat operasi dan prasarana pengendalian kargo di Lapangan Terbang Changi.

Pengumuman tersebut dibuat pada 15 Mei, sehari selepas majlis pecah tanah bagi Terminal 5 diadakan, yang dijangka dibuka secara berperingkat mulai pertengahan 2030-an.

Sats, dalam kenyataannya, berkata pelaburan tersebut akan mempertingkat kebolehpercayaan dan keselamatan operasi, mengoptimumkan waktu tugas diselesaikan, dan menyokong isi padu kargo yang semakin meningkat di lapangan terbang sehingga pertengahan 2030-an apabila Terminal 5 dan Zon Perindustrian Changi East dijangka mula beroperasi.

Pelaburan itu akan menyokong divisyen Singapore Hub (SG Hub) Sats, yang ditubuhkan pada 1 Oktober 2024 untuk mengendalikan operasi di Lapangan Terbang Changi dan Seletar, termasuk pengendalian penumpang dan kargo.

Daripada jumlah $250 juta itu, lebih $150 juta akan diperuntuk bagi memperbaharui lebih 500 kenderaan komersial dan peralatan khusus dari 2025 hingga 2029.

Ini merupakan sekitar 40 peratus daripada 1,300 kenderaan dan peralatan sokongan lapangan yang ada sekarang.

Lagi 100 unit baru juga akan ditambahkan untuk menyokong isi padu perniagaan yang meningkat.

Antaranya termasuk alat yang digunakan untuk menunda pesawat atau operasi tolak balik, trak dengan kabin yang boleh dinaikkan untuk menyenggara pesawat pada ketinggian, dan jentera angkut palet kargo dari darat ke geladak kargo.

Selain itu, peningkatan keselamatan juga akan dibuat pada sistem pencegahan kerosakan pesawat.

Sats juga akan mengeletrikkan 55 peratus kenderaan dan peralatannya menjelang tahun kewangan 2030, naik daripada 35 peratus sekarang.

Baki $100 juta akan dibelanjakan untuk mempertingkat operasi kargo dalam tempoh dua tahun akan datang.

Peningkatan pelbagai fasa itu, yang akan bermula pada pertengahan 2025, akan menyatukan operasi import, eksport dan pemindahan syarikat Singapore Airlines (SIA) dalam satu kemudahan.

Kapasiti pengendalian pada waktu paling sibuk setiap hari juga akan meningkat daripada 1,750 tan kepada 3,150 tan, iaitu peningkatan lebih 50 peratus.

Selaras dengan pelaburan tersebut, Sats berkata SG Hub juga akan mempertingkat dan melatih tenaga kerjanya untuk menyokong pertumbuhan trafik di lapangan terbang Singapura.

Ini termasuk usaha untuk mereka semula pekerjaan, mengadakan inisiatif peningkatan kemahiran dan menarik bakat baru untuk menyertai kumpulan tenaga kerjanya yang sekitar 7,800 orang pada masa ini.

Ia juga akan memanfaatkan teknologi seperti kenderaan berautonomi dan kecerdasan buatan (AI) untuk mempertingkat produktiviti.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sats SG Hub, Encik Henry Low, berkata pelaburan jutaan dolar itu menandakan detik penting dalam usaha berterusan mereka untuk mempersiap operasi kargo dan pengurusan di lapangan terbang bagi masa depan.

“Meskipun pembukaan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi adalah sekitar 10 tahun dari sekarang, Sats sudah pun melakukan persiapan menyeluruh untuk menangani permintaan operasi masa depan dengan memodenkan peralatan dan prasarana kami, di samping usaha untuk mempertingkat dan mengekalkan tenaga kerja yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa depan.

“Sebagai sebuah syarikat berbilang negara dengan ibu pejabat di Singapura, Lapangan Terbang Changi kekal sebagai asas strategi perniagaan kami dan hab utama bagi rangkaian sejagat kami.

“Peningkatan ini akan membolehkan kami menyokong pelanggan syarikat penerbangan dengan lebih berkesan dan memastikan Singapura terus cemerlang sebagai sebuah hab udara terkemuka dunia,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg