Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sats lancar pusat kendali kargo udara baru, pendekkan masa proses kargo pukal

Aug 5, 2025 | 5:30 PM
Sats, pusat kendali kargo, BUP
Menyerupai pusat pemeriksaan kastam seperti di Tuas dan Woodlands, Pusat Pengendalian Penyatuan Kargo Pukal (BUP) yang terletak di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Changi dilengkapi dengan enam lorong khas dan enam stesen penimbang. - Foto BH oleh KHALID BABA

Sebuah pusat pengendalian kargo udara baru di Singapura yang dikatakan pertama seumpamanya di dunia dilancarkan pada 5 Ogos.

Menyerupai pusat pemeriksaan kastam seperti di Tuas dan Woodlands, Pusat Pengendalian Penyatuan Kargo Pukal (BUP) seluas 3,000 kaki persegi itu mampu mengurangkan masa pemprosesan penghantaran kargo udara sehingga 20 peratus.

Dikendalikan oleh Sats Cargo, ia membolehkan pengangkut kargo memproses dan menimbang kargo mereka di satu lokasi – menjimatkan masa dari dua jam setengah kepada hanya dua jam.

Menurut Sats dalam satu kenyataan media, BUP adalah strategi pembungkusan yang menggabungkan pelbagai barangan kecil seperti bungkusan e-dagang atau kotak ke dalam satu unit kargo yang sedia untuk dihantar.

Ia bagi mempercepat proses pemuatan dan pemunggahan di lapangan terbang serta mengurangkan risiko kerosakan.

Dilengkapi dengan enam lorong khas dan enam stesen penimbang di dalam tanah, ia membolehkan kargo BUP diperiksa, ditimbang, dan disahkan dalam tempoh lima hingga lapan minit.

Sebelum ini, pengangkut kargo perlu menimbang dan mengesahkan bungkusan kargo mereka di dua terminal berasingan sebelum dipindahkan ke dalam gudang untuk dimasukkan ke dalam pesawat.

Mentelah itu, pemeriksaan dokumen akan dilakukan di dalam terminal berkenaan selepas kargo itu ditimbang.

Justeru, proses penerimaan kargo ini boleh mengambil masa sehingga 15 minit.

Semasa majlis pelancaran pusat pengendalian berkenaan di North Perimeter Rd, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sats SG Hub, Encik Henry Low, berkata ia juga akan membantu meningkatkan kapasiti terminal yang sedia ada dan mengurangkan kesesakan laluan penerimaan kargo.

Ini kerana sebarang isu penerimaan seperti dokumentasi, penimbangan, serta semakan bentuk kargo bagi memastikan ia boleh dimuatkan dengan selamat ke dalam pesawat kini dapat diselesaikan serta-merta di lokasi yang sama.

“Ini membolehkan kami mengasingkan kargo longgar daripada BUP, yang seterusnya mengurangkan masa pemprosesan bagi penghantaran kargo udara sebanyak 20 peratus – dari dua jam setengah kepada dua jam.

“Ini juga bermakna kargo boleh diterima lebih dekat dengan masa berlepas penerbangan yang dijadualkan.

“Secara tidak langsung, ini memberi pelanggan kami lebih fleksibiliti dan masa tindak balas yang lebih pantas,” kongsi Encik Low.

Pembukaan pusat pengendalian tersebut susulan usaha syarikat penyedia khidmat kargo udara dan pengurusan itu pada 15 Mei, di mana mereka melabur lebih $250 juta dalam tempoh lima tahun akan datang untuk mempertingkatkan operasi dan prasarana pengendalian kargo di Lapangan Terbang Changi.

Encik Low menambah, pusat pengendalian BUP itu membolehkan pihaknya menguji dan menyesuaikan proses kerja yang berpotensi diperkenalkan di Terminal 5 Lapangan Terbang Changi serta di Zon Perindustrian Changi East.

Ia dijangka siap menjelang pertengahan 2030-an.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sats, Encik Kerry Mok, menegaskan bahawa kemudahan baru itu adalah langkah penting dalam menampung pertumbuhan jumlah kargo udara dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Oleh itu, kami perlu mula memperbaiki kemudahan sedia ada dan memperkenalkan proses baru bagi membolehkan kami menyokong pertumbuhan jumlah kargo tersebut.

“Pusat Pengendalian BUP adalah salah satu inisiatif pertama daripada banyak usaha yang akan kami jalankan untuk meningkatkan kapasiti pengendalian kami,” ujar beliau kepada media semasa sesi bertemu media pada 5 Ogos.

Sementara itu, Encik Low menyifatkan pembukaan pusat pengendalian BUP itu menjelang sambutan ulang tahun Singapura ke-60 (SG60) pada 9 Ogos sebagai “detik yang amat bermakna” bagi Sats.

“Sambil Sats berkembang daripada peringkat tempatan ke peringkat sejagat, Singapura akan kekal sebagai hab utama kami,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg