Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Satu hati lawan api, keluarga bomba bersama jayakan NDP 2025

Tiga beranak ganding bahu dalam segmen Kontinjen Kenderaan, papar Red Rhino SCDF
Aug 9, 2025 | 5:30 AM
scdf, ndp 2025, tiga beranak, sg60
Pegawai Waran Kanan (SWO) 1 Khairudin Mohamed Ali (tengah) bangga melihat anak sulungnya, Pegawai Waran 2 (WO2) Muhammad Khairi Khairudin (kanan), dan anak keduanya, Sarjan Tiga (SGT3) Khairul Azhar Khairudin, mengikut jejak langkahnya berkhidmat dengan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF). - Foto BH oleh KHALID BABA

Dunia bomba yang penuh tugasan menarik dan membuka mata, banyak dipelajari Pegawai Waran Kanan (SWO) 1 Khairudin Mohamed Ali dek persekitaran di mana beliau dilahirkan dan dibesarkan, iaitu di kuarters Balai Bomba Geylang pada 1964.

Setiap hari, beliau menyaksikan latihan dan disiplin pasukan bomba, daripada ketangkasan mereka ketika menjalankan tugas sehinggalah cara mereka merapikan lagi seragam bomba dengan kanji agar kelihatan kemas dan rapi.

Tiada kerjaya lain yang menjadi impiannya selain mengikut jejak langkah keluarga bomba yang telah membesarkannya.

“Saya menjalani Perkhidmatan Negara (NS) pada Mei 1985 dan telah berkhidmat hinggalah ke hari ini.

“Sebelum itu, saya dilahirkan dan membesar di Balai Bomba Geylang dari 1964 hingga saya berusia tujuh atau lapan tahun.

“Setiap hari saya lihat bagaimana bomba-bomba berlatih, cara mereka gunakan kanji untuk membuat seragam mereka kelihatan rapi, sebelum mereka seterika seragam itu.

“Saya juga belajar apa yang boleh dilakukan jika berlaku kecemasan, bagaimana untuk menyelamatkan orang dan harta benda,” kata SWO1 Khairudin, 61 tahun, ketika ditemui Berita Harian (BH) di ibu pejabat SCDF di Paya Lebar.

Kini, selepas 40 tahun berbakti dalam Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), SWO1 Khairudin, yang juga bapa enam anak, melahirkan rasa bangga apabila kededua anak lelakinya turut bergelar ‘Abang Bomba’.

Sarjan 3 (SGT3) Khairul Azhar Khairudin 31 tahun, dan abangnya, Pegawai Waran 2 (WO2) Muhammad Khairi Khairudin, 35 tahun, yang masing-masing menyertai SCDF pada 2013 dan 2015, berkongsi bahawa mereka sedar akan cabaran meneruskan legasi ayah mereka.

Mereka tidak pernah mahu mengecewakan insan yang bukan sahaja merupakan bapa mereka, malah dianggap sebagai bapa kepada ramai anggota muda yang pernah dilatih olehnya.

Sebagai anak kepada seorang legenda dalam pasukan, SGT3 Khairul dan WO2 Khairi terpaksa bekerja lebih keras untuk membina identiti dan pencapaian mereka sendiri, tanpa berselindung di sebalik nama keluarga.

“Apabila saya baru masuk SDCF, saya cuba sedaya upaya untuk merahsiakan identiti saya.

“Namun entah bagaimana, tiba-tiba satu stesen tahu siapa bapa saya dan kemudian khabar itu mula tersebar.

“Setelah itu, saya mula rasa bahawa saya tidak boleh bersikap nakal lagi dan perlu berjaga-berjaga kerana tidak mahu mengecewakan ayah saya yang merupakan Timbalan Komander Rota (DRC) ketika itu,” kata WO2 Khairi.

Namun, WO2 Khairi akur bahawa beliau mempunyai peranan tersendiri dan legasi ayahnya adalah satu panduan bagi dirinya untuk melakar legasi sendiri.

Bagi SGT3 Khairul pula, tekanan untuk melakukan yang terbaik meningkat seganda apabila beliau mula berkhidmat.

“Apabila saya sertai akademi untuk menjalani latihan, terdapat dua anggota keluarga saya yang sedang berkhidmat, ayah dan abang saya.

“Oleh itu, tekanan juga meningkat kerana saya tidak mahu mengecewakan dua orang,” kongsi SGT3 Khairul, yang kini berkhidmat sebagai anggota bomba bermotosikal di Balai Bomba Yishun.

Dalam NDP 2025, keluarga berbilang generasi tersebut akan berganding bahu dalam segmen Kontinjen Kenderaan Generasi ke Generasi’, menaiki jentera Red Rhino, satu simbol kebanggaan, dedikasi dan warisan.

Berkongsi lebih lanjut tentang pengalaman mereka berlatih bersama, SGT3 Khairul berkata ia merupakan satu penghormatan bagi keluarganya, kerana ia mencerminkan tema NDP 2025, iaitu kesinambungan, ketabahan dan perpaduan.

“Ayah kami memulakan perjalanannya dalam SCDF dan kini saya serta abang saya mengikut jejak langkahnya, menunjukkan bagaimana nilai dan semangat berkhidmat boleh diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya.

“Kami semua pernah melalui detik-detik sukar dalam peranan masing-masing, tetapi kami saling menyokong dan tetap teguh dengan komitmen kami. 

“Memakai seragam yang sama mengingatkan kami bahawa kami adalah sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar, berkhidmat bersama demi satu matlamat yang serupa,” ujar SGT3 Khairul.

Apabila ditanya tentang harapan mereka sekeluarga bagi generasi akan datang, mereka berharap agar kisah mereka melawan api bersama dapat memberi inspirasi kepada sesiapa yang berminat untuk berbakti kepada negara dan masyarakat.

“Adalah penting bagi golongan muda untuk melihat seseorang daripada masyarakat mereka sendiri tampil ke hadapan dan membuat perubahan yang nyata.

“Saya ingin menyampaikan mesej bahawa tanpa mengira latar belakang, sesiapa sahaja boleh berkhidmat untuk masyarakat dan menyumbang kepada sesuatu yang lebih besar daripada diri mereka sendiri,” tambah SGT3 Khairul dengan bangga.

Saya ingin menyampaikan mesej bahawa tanpa mengira latar belakang, sesiapa sahaja boleh berkhidmat untuk masyarakat dan menyumbang kepada sesuatu yang lebih besar daripada diri mereka sendiri.
Sarjan Tiga (SGT3) Khairul Azhar Khairudin.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg