Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sauh kapal korek gagal fungsi cetus tumpahan minyak terburuk S’pura dekad ini

Oct 2, 2025 | 7:04 PM
Pekerja membentuk rantaian manusia untuk memindahkan beg pasir yang tercemar dengan minyak berhampiran Terusan Siglap di Taman East Coast pada 19 Jun 2024.
Pekerja membentuk rantaian manusia untuk memindahkan beg pasir yang tercemar dengan minyak berhampiran Terusan Siglap di Taman East Coast pada 19 Jun 2024. - Foto fail

Penyiasat mendapati sauh pada kapal korek dengan bendera Belanda, Vox Maxima, tidak dapat digunakan dan menyebabkan ia melanggar kapal lain, mengakibatkan tumpahan minyak terburuk di Singapura dalam dekad ini.

Punca lain yang dikenal pasti dalam laporan siasatan termasuk kekurangan proses penyerahan tugas yang betul dan ketiadaan sistem rakaman tugas, lapor The Straits Times (ST).

Pada 14 Jun 2024, Vox Maxima kehilangan kawalan enjin dan stereng, lalu melanggar kapal Marine Honour dengan bendera Singapura, yang berlabuh di Terminal Pasir Panjang. 

Kejadian itu menyebabkan 400 tan minyak tumpah ke laut, mencemari pantai di Taman East Coast, Kawasan Simpanan Alam Semula Jadi Labrador, Keppel Bay, Pulau Selatan dan Sentosa.

Operasi pembersihan, yang dianjurkan bersama oleh Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA), Lembaga Taman Negara (NParks), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC), mengambil masa lebih dua bulan untuk diselesaikan.

Penemuan oleh Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura (TSIB), sebuah jabatan di Kementerian Pengangkutan (MOT), juga mendedahkan terdapat sebuah kapal ketiga – kapal tangki kimia Super Hero – yang hampir melanggar Vox Maxima.

Siasatan selesai pada 15 Ogos dan laporan TSIB diterbitkan pada 21 Ogos.

Ia menunjukkan pada pagi 14 Jun 2024, anak kapal Vox Maxima membuka pemutus litar di sebelah kanan kapal untuk menjalankan pemeriksaan peralatan. 

Namun, mereka gagal mengembalikan aliran elektrik pada kedua-dua pemutus litar ketika Vox Maxima bersedia untuk berlepas ke Limbungan Kapal Marin ST di Tuas.

Anak kapal termasuk dua jurumudi pelabuhan tempatan daripada PSA Marine, yang membantu mengemudi kapal masuk dan keluar pelabuhan.

Kapal tersebut meninggalkan pelabuhan pada 2.08 petang dan kelajuannya meningkat kepada 17.6 kilometer sejam ketika memasuki West Keppel Fairway berhampiran Terminal Pasir Panjang. 

Salah seorang jurumudi pelabuhan di Vox Maxima cuba menghubungi jurumudi Super Hero yang berada 1.9 kilometer di hadapan, namun tiada respons diterima.

Pada 2.09 petang, jurumudi pelabuhan Vox Maxima melaporkan kepada Pusat Kawalan Pasir Panjang bahawa beliau akan pastikan Super Hero berada di sebelah kanan ketika melewatinya.

Pada 2.12 petang, anak kapal Vox Maxima menghidupkan unit kuasa hidraulik untuk mempercepatkan pemindahan air laut demi memastikan laluan yang selamat ke limbungan kapal.

Namun, ini segera menyebabkan bekalan elektrik terputus di Vox Maxima.

Super Hero dijangka melintas di sebelah kanan Vox Maxima dalam masa kira-kira 2 minit 24 saat.

Anak kapal di Vox Maxima kemudian menyedari mereka telah kehilangan kawalan stereng kapal. 

Pada 2.13 petang, jurumudi pelabuhan melaporkan kegagalan enjin dan membuat siaran radio kepada kapal berdekatan.

Beliau menasihatkan anak kapal untuk menurunkan sauh kiri, tetapi ia tersekat. 

Pada 2.14 petang, jurumudi mengarahkan anak kapal melepaskan sauh kanan, namun tiada kuasa elektrik untuk menggerakkan pam hidraulik.

Kedua-dua sauh gagal digunakan dan percubaan memperlahankan kapal dengan membalikkan enjin juga gagal kerana kawalan enjin hilang.

Ketika itu, Super Hero mengubah haluannya untuk bergerak lebih dekat ke kiri, manakala Vox Maxima terus berpusing ke kanan.

Sementara itu, Vox Maxima berada kira-kira 220 meter dari Marine Honour.

Jurumudi pelabuhan di Vox Maxima kemudian menghubungi PSA Marine untuk perkhidmatan tunda segera bagi membantu mengemudi kapal itu.

Kuasa elektrik dipulihkan pada 2.15 petang dan anak kapal mengatur enjin untuk bergerak ke belakang. 

Vox Maxima kemudian menghubungi PSA  Phoenix CS09 untuk bantuan, namun tiada respons.

Pada 2.16 petang, Vox Maxima melanggar Marine Honour, merosakkan tangki minyak kapal tersebut.

Pada 2 April, empat anak kapal Belanda di Vox Maxima dikenakan denda antara $20,000 dengan $40,000 setiap seorang kerana gagal menjalankan tugas mereka dengan betul.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg