Topik diikuti
Pergi ke BHkuSayuran tempatan daripada sekurang-kurangnya 4 ladang S’pura bakal ditarik dari FairPrice
Sayuran tempatan daripada sekurang-kurangnya 4 ladang S’pura bakal ditarik dari FairPrice
Sayuran tempatan daripada sekurang-kurangnya 4 ladang S’pura bakal ditarik dari FairPrice
Sayur-sayuran tempatan daripada sekurang-kurangnya empat ladang di Singapura tidak akan dijual lagi di pasar raya FairPrice.
Keputusan itu, sebahagian daripada semakan produk berkala FairPrice, menonjolkan pergelutan antara menyediakan pelanggan produk bernilai terbaik dengan usaha nasional untuk menyokong penanam tempatan bagi meningkatkan daya tahan makanan, kata pihak industri.
Ladang bandar yang terjejas ialah Artisan Green, SG Veg Farms, Sustenir dan Netafarm – sebuah ladang dan kemudahan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di Neo Tiew yang telah membuat keputusan untuk mengecilkan operasinya dengan ketara berikutan berita itu.
Ladang tersebut telah membekalkan sayur-sayuran seperti sayur berdaun Asia dan kale sejak sekitar 2019.
Sustenir – salah satu ladang tempatan yang lebih dikenali di sini – mengesahkan sebahagian daripada tujuh jenis produknya akan ditarik keluar, tetapi tidak menyatakan berapa banyak yang akan dikeluarkan.
“Sebagai pengeluar tempatan, kami berharap peruncit utama akan terus mengutamakan dan menyokong hasil segar tempatan,” kata jurucakapnya.
FairPrice Group (FPG) memberitahu The Straits Times (ST) bahawa pihaknya mengumpul maklum balas daripada pembekal dan ladang, serta data daripada pasar raya untuk lebih memahami permintaan pengguna yang berubah, mengenal pasti peluang untuk memperbaiki pilihan produknya dan menawarkan jenis sayur yang tepat pada nilai terbaik.
“Kami komited untuk memastikan bekalan hasil segar yang berkualiti dan berpatutan secara stabil untuk pelanggan di seluruh rangkaian kami.
“Sebahagian daripada usaha ini melibatkan penambahbaikan berterusan terhadap pilihan produk kami bagi menawarkan pelanggan pilihan hasil yang lebih relevan dan bernilai,” kata jurucakapnya.
“Pada masa sama, kami kekal komited untuk menyokong pengeluaran tempatan menerusi perkongsian jangka panjang kami dengan peladang (petani) dan pengeluar tempatan, di samping pelbagai inisiatif untuk mengukuhkan ekosistem makanan tempatan Singapura.”
Terdapat lebih 90 ladang sayur di Singapura menurut senarai ladang Agensi Makanan Singapura (SFA), tetapi hanya sebahagian kecil daripadanya dijual di FairPrice dan pasar raya lain.
Pilihan runcit lain termasuk peruncit dalam talian seperti RedMart, pasar basah, pembelian terus di ladang, pesanan dalam talian dan penghantaran ke rumah. Ladang itu turut membekalkan sayur kepada restoran dan hotel.
Pengeluaran sayur tempatan meningkat sedikit pada 2025 kepada 16,600 tan, berbanding 16,400 tan pada 2024.
Ketika ST melawat tiga cawangan FairPrice di VivoCity, Ang Mo Kio Hub dan Tiong Bahru Plaza, hasil tempatan yang dilihat di rak berasal daripada jenama seperti Green Harvest, rumah hijau hidroponik kaca terbesar di Asia Tenggara; Hydrogreens, jenama daripada ladang menegak dalaman tertinggi di dunia, Greenphyto; SG Farmers’ Market; Yili; Sustenir; Sakura, yang membekalkan tauge; dan Kin Yan Agrotech, yang membekalkan cendawan.
Setiap cawangan mempunyai tujuh hingga 10 jenis sayur tempatan untuk dijual.
Menurut laman webnya, FairPrice merupakan peruncit terbesar di Singapura dengan sekitar 160 cawangan.
Ladang tempatan telah bergelut dengan kos elektrik, pengangkutan dan baja yang lebih tinggi akibat konflik Iran-Amerika Syarikat dan krisis tenaga yang berikutan.
