Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura semak sasaran pertanian, tetap matlamat baru bagi serat, protein jelang 2035

Grace Fu: Ganti sasaran asal 2030 berikutan cabaran sektor pertanian tempatan
Nov 4, 2025 | 5:09 PM
Grace Fu, pertanian, sasaran baru
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu. - Foto ZAOBAO

Singapura menggantikan sasaran asal 2030 bagi sektor pertanian dengan matlamat baru untuk pengeluaran serat dan protein menjelang 2035, berikutan cabaran yang dihadapi sektor pertanian tempatan.

Pada masa sama, pemerintah sedang meneroka cara baru membantu ladang tempatan meningkatkan pengeluaran dan kekal berdaya maju.

Sebagai contoh, pemerintah akan mengkaji kemungkinan membangunkan kemudahan yang dapat menempatkan beberapa ladang serta menyediakan kemudahan asas dan perkhidmatan bersama bagi mengurangkan kos pengeluaran.

Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, mengumumkan matlamat yang disemak semula serta inisiatif baru itu semasa pembukaan Sidang Kemuncak Inovasi Agri-Makanan Asia Pasifik, di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands, pada 4 November.

Pengumuman itu dibuat susulan semakan selama setahun terhadap sasaran Singapura untuk menghasilkan 30 peratus keperluan makanan tempatan, termasuk ikan, telur dan sayur-sayuran, menjelang 2030. 

Sasaran ini dikenali sebagai ‘30 jelang 30’.

Antara matlamat baru yang ditetapkan adalah untuk Singapura menghasilkan 20 peratus daripada keperluan serat negara menjelang 2035, kata Cik Fu.

Kategori ini merangkumi sayur berdaun dan buah-buahan, tauge serta cendawan, yang boleh dihasilkan secara komersial di Singapura, lapor The Business Times (BT).

Matlamat lain termasuk memacu pengeluaran protein tempatan – merangkumi telur dan makanan laut – untuk memenuhi 30 peratus daripada jumlah penggunaan domestik menjelang 2035. 

Pada 2024, sekitar lapan peratus serat dan 26 peratus protein yang dimakan di Singapura dihasilkan secara domestik, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA).

Namun, pada Jun, satu laporan statistik makanan bagi 2024 yang dikeluarkan SFA menunjukkan hanya tiga peratus daripada sayur-sayuran yang dimakan di sini dihasilkan secara tempatan.

SFA menjelaskan kategori serat kini dihadkan kepada beberapa jenis sayur, dengan sayur berubi dan bawang dikecualikan.

Justeru, peratusan sayur yang dihasilkan secara tempatan bagi 2024 dikira sebanyak lapan peratus.

Laporan pada Jun turut menunjukkan 34.4 peratus telur dan 6.1 peratus makanan laut yang dimakan di sini dihasilkan secara tempatan pada 2024.

SFA berkata angka 26 peratus bagi protein diperoleh dengan menggabungkan peratusan telur yang dihasilkan secara tempatan dan sebahagian kecil makanan laut, khususnya ikan dan krustasia (haiwan laut berkulit keras).

Sasaran asal ‘30 jelang 30’ diumumkan pada 2019.

Pada masa itu, pandemik Covid-19 dan gangguan rantaian bekalan berkaitan masih belum menjejas sektor ini, manakala pelabur mempunyai keyakinan tinggi terhadap teknik pertanian inovatif.

“Kami sedar ini adalah aspirasi yang mencabar memandangkan sektor agri-makanan kita yang kecil dan kurang berkembang, sumber tanah yang terhad serta persekitaran kos operasi yang tinggi,” kata Cik Fu di Minggu Agri-Makanan Antarabangsa Singapura.

Sekitar satu peratus daripada tanah di Singapura diperuntukkan untuk tujuan pertanian.

Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ladang tempatan menghadapi pelbagai cabaran, daripada penurunan jumlah pengeluaran hingga penutupan ladang – terutama bagi ladang sayur berteknologi tinggi dan akuakultur.

“Sektor agri-makanan tempatan kita, seperti di negara lain, telah menghadapi halangan – gangguan rantaian bekalan, tekanan inflasi terhadap kos tenaga dan buruh, serta persekitaran pembiayaan lebih mencabar.

“Keadaan ini menyebabkan penangguhan dalam pembangunan ladang dan beberapa penutupan, walaupun kita turut menyaksikan kemunculan syarikat pemula baru,” jelas Cik Fu.

Dengan keselamatan makanan menjadi perkara penting bagi Singapura, Cik Fu menggariskan strategi baru negara yang merangkumi empat teras untuk memastikan perkara ini.

Strategi tersebut termasuk: mempelbagaikan import, pengeluaran tempatan, penyimpanan stok, serta satu teras baru iaitu kerjasama sejagat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg