Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SBF lancar pusat perusahaan di Dubai, sokong peluasan niaga di Timur Tengah

Rantau terima minat semakin meningkat daripada perniagaan Singapura
Nov 19, 2025 | 6:55 PM
Pusat Perusahaan Singapura, Dubai, SME
Seiring dengan pembukaan Pusat Perusahaan Singapura, Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) telah mengetuai misi perniagaan ke Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE), melibatkan 18 wakil daripada 13 syarikat merentasi tujuh sektor. - Foto AFP

Perusahaan kecil dan sederhana (SME) tidak lama lagi akan meraih manfaat dari sebuah pusat baru di Dubai bagi menyokong usaha peluasan mereka di Timur Tengah.

Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) pada 19 November telah melancarkan sebuah Pusat Perusahaan Singapura (SEC) di Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE), yang pertama di Timur Tengah dan kelima di peringkat sejagat.

SEC@Dubai akan berfungsi sebagai pintu gerbang strategik bagi syarikat Singapura yang ingin merebut peluang di seluruh rantau Teluk.

Mereka akan disokong melalui program nasihat pasaran, rangkaian perniagaan, sokongan padanan perniagaan, bengkel, meja bundar dan seminar, ujar SBF dalam satu kenyataan.

Pusat-pusat itu adalah sebahagian daripada usaha GlobalConnect@SBF oleh Enterprise Singapore (EnterpriseSG) dan SBF, lapor The Business Times (BT).

Pada masa ini, terdapat empat lagi SEC di Jakarta, Bandar Ho Chi Minh, Bangkok dan Bengaluru.

UAE merupakan pasaran utama di rantau Teluk, dengan ekonomi bernilai AS$569 bilion ($742 bilion) dan dijangka berkembang 4.8 peratus pada 2025.

Perniagaan Singapura menunjukkan keinginan yang meningkat untuk mengembangkan sayap ke UAE dan Arab Saudi, berdasarkan Tinjauan Perniagaan Nasional SBF 2024.

Bilangan syarikat yang berminat menubuhkan operasi di rantau Timur Tengah telah melonjak lebih lima kali ganda dalam tempoh dua tahun lalu, tambah SBF.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SBF, Encik Kok Ping Soon, berkata permintaan yang kian meningkat itu “mencerminkan penerimaan kukuh oleh perusahaan Singapura terhadap peluang di pasaran tersebut”.

Beliau menambah permintaan itu juga telah “meletakkan Dubai sebagai titik permulaan yang strategik” di rantau tersebut.

Menurut SBF, perkembangan ini mengukuhkan “keperluan untuk SBF mempunyai kehadiran khusus di pasaran melalui SEC@Dubai”.

Timbalan Pengarah Urusan, Pasaran, EnterpriseSG, Encik Tan Soon Kim, berkata:

“SEC@Dubai seiring dengan usaha berterusan EnterpriseSG untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan membuka ruang kepada pertumbuhan mampan yang saling menguntungkan di Timur Tengah.”

Seiring dengan pembukaan itu, SBF juga telah mengetuai satu misi perniagaan ke Arab Saudi dan UAE, melibatkan 18 wakil daripada 13 syarikat merentasi tujuh sektor.

Bengkel pasaran luar negara selama tiga hari itu menyediakan pendekatan bersepadu untuk kemasukan pasaran dengan menghubungkan peserta kepada agensi utama dan perusahaan terkemuka yang memacu ekosistem perniagaan serta penggabungan teknologi di rantau tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg