Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) akan membunyikan isyarat ‘Mesej Penting’ melalui Sistem Amaran Awam (PWS) di seluruh negara pada 6.20 petang 15 September.
Dalam satu kenyataan media, SCDF pada 8 September, berkata orang ramai tidak perlu cemas apabila mendengar bunyi semboyan latihan itu selama satu minit.
Menurut SCDF, satu isyarat akan turut dibunyikan selama 20 saat pada semua telefon pintar yang memuat turun aplikasi mudah alih SGSecure, jika tetapan pemberitahuan dan amaran pada aplikasi tersebut telah diaktifkan.
Isyarat ‘Mesej Penting’ itu bertujuan memberitahu orang ramai tentang pengumuman penting di radio, jelas SCDF.
Setelah mendengar isyarat tersebut, orang ramai disaran agar segera membuka mana-mana saluran radio atau televisyen tempatan bagi mendengar mesej ringkas mengenai tiga isyarat PWS dan tindakan yang perlu diambil apabila mendengar isyarat tersebut, tambah SCDF.
Setiap tahun, SCDF membunyikan isyarat ‘Mesej Penting’ pada 6.20 petang, 15 Februari dan 15 September.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai PWS di www.scdf.gov.sg/home/civil-defence-shelter/public-warning-system.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg