Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shanmugam: Undang-undang baru, teknologi bantu pegawai laksana tugas dengan lebih baik

Feb 24, 2025 | 7:02 PM
Semasa berucap di Hari Home Team pada 24 Februari, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam, berkata sembilan undang-undang baru yang diperkenalkan sepanjang tempoh 14 bulan sebelum ini membantu pegawai melaksanakan tugas dengan lebih baik.
Semasa berucap di Hari Home Team pada 24 Februari, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam, berkata sembilan undang-undang baru yang diperkenalkan sepanjang tempoh 14 bulan sebelum ini membantu pegawai melaksanakan tugas dengan lebih baik. - Foto MHA

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) telah memperkenalkan sembilan undang-undang baru sepanjang tempoh 14 bulan lalu untuk membantu pegawainya melaksanakan tugas dengan lebih baik, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam.

Undang-undang sedemikian menangani pelbagai isu merangkumi pengubahan wang haram serta keharmonian kaum dan agama.

Ini menurut Encik Shanmugam mampu memperkasa dan melindungi pegawai dalam bidang tugas masing-masing.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Akademi Home Team (HTA) pada 24 Februari sempena Hari Home Team 2025.

Encik Shanmugam berkata: “Kami (di MHA) sentiasa menyediakan rangka kerja yang membantu anda melakukan tugas dengan lebih baik – memberi anda kuasa melakukan tugas dan melindungi anda apabila anda melakukan tugas anda.

“Dan tanpa rangka kerja undang-undang ini, kita tidak boleh bergerak (maju).”

Antara undang-undang yang diperkenalkan itu termasuk Akta Penguatkuasaan Undang-undang dan Perkara Lain, yang telah diluluskan Parlimen pada 2 April 2024 dan berkuat kuasa sejak 1 Januari 2025.

Di bawah Akta itu, adalah menjadi kesalahan menyalahgunakan kad SIM tempatan, di samping meningkatkan keupayaan polis memberkas individu yang menimbulkan risiko keselamatan kepada diri sendiri dan orang lain

Selain itu, Encik Shanmugam turut menyentuh bahawa teknologi telah meningkatkan pegawai Home Team menambah baik sistem dan peralatan yang digunakan pegawai barisan hadapan.

Misalnya, Polis Trafik (TP) menggunakan pengimbas laser 3-dimensi (3D) untuk mencipta model digital tempat kemalangan bagi meningkatkan ketepatan, mengurangkan gangguan jalan raya dan meningkatkan daya penyiasatan, menukil laman rasmi Pasukan Polis Singapura (SPF).

Acara itu turut menyaksikan Encik Shanmugam melancarkan Ikrar Home Team baru, yang menurutnya menandakan komitmen terhadap budaya yang ingin dilihat dalam pasukan Home Team.

Buat masa ini Home Team merangkumi Ibu Pejabat MHA, SPF, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Biro Narkotik Pusat (CNB), HTA, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) dan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).

Ini di samping Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX), Penguasa Pengawalan Perjudian (GRA) dan Reben Kuning Singapura (YRSG).

Hari Home Team bertujuan memperingati ulang tahun pelancaran konsep Home Team pada 1997, oleh mantan Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik Wong Kan Seng.

Hari Home Team diadakan buat julung-julung kalinya pada Februari 2024 di HomeTeam NS Bedok Reservoir.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg