Scoot batalkan penerbangan S’pura-Jeddah hingga 17 Mac kerana isu Timur tengah
Scoot batalkan penerbangan S’pura-Jeddah hingga 17 Mac kerana isu Timur tengah
Scoot telah melanjutkan pembatalan penerbangan antara Singapura dan Jeddah sehingga 17 Mac, berpunca daripada ketegangan yang berterusan di Timur Tengah.
Syarikat penerbangan tambang rendah milik Singapore Airlines (SIA) itu mengumumkan di laman webnya pada 10 Mac, bahawa penerbangan TR596 (Singapura ke Jeddah) dan TR597 (Jeddah ke Singapura) dibatalkan akibat “situasi geopolitik di Timur Tengah.”
Dalam makluman sebelum ini pada 6 Mac, Scoot menyatakan penggantungan penerbangan ke dan dari Jeddah berkuat kuasa sehingga 10 Mac.
Sebelum pembatalan ini, Scoot mengendalikan empat penerbangan setiap minggu antara kedua-dua bandar itu.
Pembatalan terbaru ini menyusuli pengumuman pada 1 Mac, di mana 26 penerbangan SIA dan Scoot antara 28 Februari dan 7 Mac dibatalkan, sejurus serangan dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap sasaran di Iran.
SIA, dalam hantaran Facebook pada 5 Mac, mengumumkan penggantungan penerbangan SQ494 (Singapura ke Dubai) dan SQ495 (Dubai ke Singapura) sehingga 15 Mac. Pengaturan ini kekal pada 10 Mac.
“Pelanggan yang terjejas oleh pembatalan penerbangan boleh memohon pemulangan penuh jika mereka memilih untuk tidak meneruskan perjalanan mereka, atau mereka boleh memilih untuk menempah penerbangan alternatif Scoot,” kata syarikat itu pada 10 Mac.
Mereka yang membuat tempahan melalui ejen pelancongan atau syarikat penerbangan rakan kongsi dinasihatkan untuk menghubungi pihak berkenaan terus untuk bantuan.
Syarikat penerbangan itu juga menggesa penumpang untuk mengemas kini butiran perhubungan mereka atau melanggan perkhidmatan pemberitahuan mudah alih untuk menerima kemas kini mengenai status penerbangan mereka.

