SIA kendali penerbangan pemindahan dari Oman; pembatalan SIA, Scoot ke Timur Tengah lanjut
SIA kendali penerbangan pemindahan dari Oman; pembatalan SIA, Scoot ke Timur Tengah lanjut
Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) akan menyokong Kementerian Ehwal Luar (MFA) untuk menyediakan penerbangan pemindahan antara Singapura dengan Oman di tengah konflik yang tercetus akibat serangan Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran pada 28 Februari.
SIA akan mengerahkan pesawat A350-900 bagi penerbangan itu, kata jurucakap SIA pada 6 Mac.
“Keselamatan adalah keutamaan kami, dan penerbangan ini akan dijalankan dengan mematuhi semua keperluan peraturan, operasi dan keselamatan,” kata SIA.
MFA mengumumkan bahawa Singapura merancang menjalankan penerbangan pemindahan pada 7 Mac dan 8 Mac untuk membawa rakyat Singapura pulang dari Muscat, Oman.
Penerbangan yang dirancang pada 7 Mac itu bertujuan membawa rakyat Singapura dari Oman dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) – tempat kira-kira 60 peratus daripada warga yang berdaftar secara elektronik dengan MFA berada.
Penerbangan kedua pada 8 Mac pula bertujuan memenuhi permintaan tinggi dalam kalangan pelancong, kata kementerian itu.
Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada 6 Mac mengumumkan bahawa warga asing di Singapura yang penerbangan pulang mereka terjejas akibat konflik Timur Tengah yang berterusan, boleh menaiki penerbangan khas ke Oman pada pagi 8 Mac.
Penerbangan SQ8002 akan berlepas dari Lapangan Terbang Changi pada 5.30 pagi menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Muscat, dengan harga tiket $600 setiap satu, berdasarkan laman web STB pada 6 Mac.
Penumpang terjejas yang ingin mendapatkan tempat duduk di penerbangan itu mesti mengisi borang di laman web STB sebelum 9 pagi pada 7 Mac.
Mereka boleh mengakses borang tersebut di https://go.gov.sg/8mar-sgtomuscat.
STB berkata pengisian borang tidak menjamin tempat duduk di penerbangan.
Tempat duduk hanya akan disahkan setelah pembayaran dilakukan melalui pautan yang berakhir dengan ‘.gov.sg’, setelah menerima e-mel dengan arahan pembayaran.
STB berkata penerbangan itu hanya untuk pelancong bukan penduduk Singapura yang mempunyai tiket penerbangan antara 28 Februari dengan 8 Mac dibatalkan akibat penutupan ruang udara di Timur Tengah dan belum membuat pengaturan perjalanan alternatif.
Pelancong juga perlu memastikan mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah, visa dan insurans perjalanan sebelum penerbangan.
Banyak penerbangan terhenti akibat penutupan ruang udara berikutan ketegangan yang semakin meningkat di Timur Tengah sejak serangan pertama Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran pada 28 Februari, menyebabkan pelancong terperangkap di negara asing.
Beberapa rakyat Singapura turut dilaporkan terperangkap di pelbagai negara di Timur Tengah.
Sementara itu, SIA dan anak syarikat penerbangan kos rendahnya, Scoot, telah melanjutkan pembatalan penerbangan antara Singapura dengan Timur Tengah berikutan konflik tersebut.
Dalam satu catatan di Facebook pada 5 Mac, SIA berkata penerbangan SQ494 (Singapura ke Dubai) dan SQ495 (Dubai ke Singapura) akan dibatalkan sehingga 15 Mac.
Dalam satu nasihat pada 6 Mac, Scoot pula berkata penerbangannya TR596 (Singapura ke Jeddah) dan TR597 (Jeddah ke Singapura) akan dibatalkan pada 7, 9 dan 10 Mac.
SIA berkata: “Memandangkan keadaan yang masih berubah-ubah, penerbangan SIA yang lain juga mungkin terjejas.”
Pelanggan dinasihatkan agar memeriksa halaman status penerbangan syarikat penerbangan untuk maklumat terkini.
Penumpang yang terjejas oleh pembatalan akan diberikan tempat duduk pada penerbangan alternatif atau boleh memohon pemulangan penuh untuk tiket yang tidak digunakan, kata SIA.
Pelanggan yang menempah terus dengan SIA boleh memohon pemulangan melalui borang permohonan bantuan, sementara mereka yang menempah melalui ejen pelancongan atau syarikat penerbangan rakan kongsi perlu menghubungi ejen atau syarikat tersebut untuk mendapatkan bantuan.
Pelanggan yang terjejas oleh pembatalan penerbangan Scoot boleh menempah penerbangan alternatif atau memohon pemulangan penuh jika tidak meneruskan perjalanan.
Pembatalan terbaru itu susulan pengumuman terdahulu pada 1 Mac bahawa sebanyak 26 penerbangan SIA dan Scoot antara 28 Februari dengan 7 Mac telah dibatalkan selepas Amerika dan Israel melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran.

