Menaiki kapal terbang dalam kelas ekonomi adalah salah satu cara menjimatkan kos untuk pergi dari satu tempat ke tempat yang lain.
Namun, ada beberapa syarikat penerbangan yang menawarkan pengalaman kelas pertama dalam tempat duduk ekonomi.
Syarikat penerbangan yang berpangkalan di Hong Kong, Cathay Pacific Airways, baru-baru ini telah diiktiraf sebagai syarikat penerbangan kelas ekonomi terbaik dunia, dengan menawarkan tempat duduk berteknologi tinggi serta hidangan makanan yang memuaskan.
Ia juga mendapat tempat pertama bagi hiburan dalam penerbangan dan disenaraikan sebagai syarikat penerbangan ketiga terbaik di seluruh dunia, pada Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax.
Ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat itu, Encik Ronald Lam, dalam satu kenyataan berkata: “Penghargaan ini menegaskan komitmen kami memberikan perkhidmatan luar biasa dan meningkatkan pengalaman bagi pelanggan dalam perjalanan mereka.”
Beliau menyifatkan penghargaan itu sebagai “amat menggalakkan”.
Dalam pesawat Boeing 777-300ER syarikat itu, tempat duduknya turut menyediakan kemudahan yang membolehkan tempat letak kepala dilaraskan, rak khas untuk telefon bimbit dan barangan kecil lain, serta skrin peribadi yang boleh dipadankan dengan fon kepala.
Penumpang juga dihidangkan menu yang diediakan khas dengan kerjasama restoran berbintang Michelin yang dilengkapkan dengan tart telur yang terkenal dari Hong Kong.
Syarikat penerbangan Qatar Airways, Singapore Airlines, ANA All Nippon Airways dan Japan Airways menduduki lima tempat teratas di belakang Cathay Pacific dalam senarai tersebut. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg