Scoot telah mengumumkan penambahan penerbangan serta peningkatan kapasiti penumpang ke destinasi popular seperti Bali, Seoul , Taipei dan Perth.
Anak syarikat tambang rendah syarikat penerbangan Singapura itu mengumumkan pada 9 Mei bahawa inisiatif ini diperkenalkan untuk menyokong permintaan tinggi untuk perjalanan udara dalam bulan-bulan akan datang.
Antara laluan penerbangan yang baru termasuk ke Taiwan, Korea Selatan, Jepun, Australia dan Filipina.
Penerbangan ke Taipei dan Korea Selatan (melalui Taipei) akan meningkat daripada lima kali seminggu kepada perkhidmatan harian bermula 2 Ogos.
Sejak 30 Mac, kapasiti penumpang ke Taipei dan Tokyo (melalui Taipei) juga telah ditingkatkan untuk kesemua 12 penerbangan mingguan.
Penerbangan ke Perth dan Sydney juga akan meningkat kepada 14 kali seminggu, masing-masing bermula 4 Ogos dan 5 Oktober.
Penerbangan ke Iloilo City di Filipina pula akan meningkat daripada dua kepada empat kali seminggu bermula 6 Jun.
Bermula pada 24 Jun, penerbangan ke Cebu pula akan meningkat daripada tujuh kepada 10 kali seminggu, manakal mulai 20 Ogos, perkhidmatan ke Davao akan meningkat kepada 12 kali seminggu daripada sembilan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg