Parti pembangkang, Perikatan Demokratik Singapura (SDA), sepatutnya melancarkan manifestonya dalam satu sidang media pada tengah hari 22 April, tetapi menangguhkannya pada saat terakhir kerana salah seorang anggotanya kehilangan ahli keluarga.
Dalam satu mesej WhatsApp pada pagi 22 April, Pengerusi SDA, Encik Desmond Lim, 57 tahun, berkata SDA akan mengadakan sidang media itu pada lain hari dengan semua anggotanya boleh hadir.
“Seperti yang anda ketahui, prinsip panduan kami ialah ‘Khidmat Mengatasi Kepentingan Diri (Service Before Self)’ dan adalah penting bagi kami berdiri di sisi anggota kami pada masa yang diperlukan.
“Selepas membincangkannya dengan Setiausaha Agung kami, Encik Abu Mohamed, kami berasa (keputusan) terbaik adalah mengutamakan keperluan anggota kami,” jelasnya.
Beliau juga mengirimkan gambar yang menunjukkan pengebumian jenazah.
“Kehadiran saya di pengebumian itu melambangkan sokongan dan perpaduan semua anggota SDA,” tambahnya.
Sebelum ini, SDA telah membuat lawatan ke kawasan Loyang pada 23 Mac, kawasan Lengkok Mariam pada 13 April, dan Pulau Ubin pada 18 dan 20 April – ketiga-tiganya terletak di bawah GRC Pasir Ris-Changi.
Encik Abu, 74 tahun, yang juga Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Singapura (PKMS), turut hadir semasa lawatan ke Pulau Ubin pada 20 April.
Ini sekali gus mengukuhkan jangkaan bahawa SDA akan bersaing di GRC baru itu dalam GE2025.
Ketika ditanya pada 20 April tentang calon yang bakal bertanding, Encik Lim berkata butirannya bakal dikongsi pada Hari Penamaan Calon 23 April.
GRC Pasir Ris-Changi mempunyai 100,639 pengundi – 87,768 dari GRC Pasir Ris-Punggol dan 12,871 dari GRC East Coast.
Pada 13 April, Encik Lim berkongsi bahawa satu lagi parti telah menyertai SDA.
Namun pada 20 April, beliau berkata butiran akan didedahkan pada atau selepas Hari Penamaan Calon.
Ditubuhkan pada 2001, SDA, yang dipengerusikan Encik Lim, kini terdiri daripada Parti Keadilan Singapura (SJP) dan PKMS.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg