Parti Demokratik Singapura (SDP) melancarkan pelan pada 2 Ogos sebagai persiapan Pilihan Raya Umum lima tahun akan datang, sedang parti itu menyambut ulang tahunnya yang ke-45.
Pelan Roadmap2030 merangkumi empat tonggak iaitu, reformasi pilihan raya; memperkukuh sokongan masyarakat; memperkasakan pemimpin muda; dan menggiatkan semula sayap wanitanya.
Pelan ini diumumkan pada sidang media di Ibu Pejabat SDP di Bukit Batok.
Bagi fasa pertama, tahun ini hingga 2026, parti itu akan menumpukan usaha mengukuhkan sistem dalaman, melatih pemimpin baru, serta menonjolkan peranan.
Fasa kedua, dari 2026 hingga 2028, akan memberi tumpuan kepada pertumbuhan dan pengerahan, dengan usaha memperluas sokongan.
Fasa terakhir, dari 2028 hingga 2030, pula akan memupuk budaya demokratik sambil bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum.
“Roadmap2030 adalah tentang mencipta dan mengekalkan perubahan positif yang berkekalan di Singapura.
“Kami bermula dengan meletakkan asas sekarang dalam kalangan masyarakat, bersama belia dan dengan kerjasama masyarakat sivil. Ini akan membentuk sebuah Singapura yang lebih terbuka, adil, dan terlibat sama menjelang 2030,” kata Pengerusi SDP, Dr Paul Tambyah.
Antara tonggak utama pelan ini ialah inisiatif untuk mendorong reformasi pilihan raya, termasuk rancangan bagi kempen petisyen awam.
Pengurus Bersama Projek Reformasi Pilihan Raya, Encik Ariffin Sha: “Mengapa reformasi pilihan raya ini sangat penting adalah kerana tidak kira apa isu yang anda ambil peduli, sama ada kesihatan mental, pengangguran, malah isu Palestin, ini adalah satu isu yang kita semua perlu bersatu dan mengatur langkah menanganinya.
“Apa yang kami mahu lakukan ialah keluar mendekati orang ramai yang biasanya sukar didekati.”
SDP turut mengumumkan pelancaran Unbroken Circles, sebuah rangkaian perbincangan kecil di peringkat akar umbi bagi membina masyarakat yang inklusif melalui pendidikan sivik, program inklusif dan inisiatif berasaskan masyarakat.
“Rangkaian Unbroken Circles bertujuan mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni, yang mengamalkan pemikiran kritis dengan kejelasan moral,” kata Pengurus Bersama Projek, Encik Xavier Tan.
Sayap Wanita Demokrat pula akan menumpukan usaha memperkasa wanita dalam politik serta menangani isu seperti penjagaan keluarga dan kesihatan mental, manakala Demokrat Muda akan memainkan peranan lebih besar dalam pembaharuan kepimpinan dan usaha mendekati masyarakat.
“Kami tahu ramai anak muda yang peduli tentang apa yang berlaku di Singapura, tetapi mereka tidak tahu bagaimana atau di mana untuk bermula.
“Ramai yang mahu menyumbang tetapi berasa ruang politik terlalu jauh daripada mereka. Kami mahu membantu mereka memahami bahawa politik bukan hanya untuk ahli politik. Ia adalah untuk kita semua,” kata Pengurus Bersama Projek Demokrat Muda, Encik Shawal Yeo.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg