Seorang lelaki berusia 31 tahun yang berada dalam keadaan sangat mabuk dan seorang warga emas berusia 71 tahun bertembung antara satu sama lain di luar sebuah pasar raya di Serangoon North pada petang November 2024.

Pertembungan itu mencetuskan satu pertengkaran antara dua individu yang saling tidak mengenali itu.

Pertengkaran berkenaan kemudian berlarutan di sebuah lorong belakang, di mana lelaki muda yang jauh lebih tinggi itu bertindak melepaskan tumbukan bertubi-tubi ke atas warga emas itu serta memijaknya.

Mangsa meninggal dunia di hospital 10 hari kemudian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Pada 8 Oktober, Mohamed Serajudeen Mohamed Yusoff, yang kini berusia 33 tahun, dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 kali sebatan.

Dia mengaku bersalah atas tuduhan membunuh tanpa niat terhadap John Andrews pada 19 November 2024.

“Ini merupakan contoh buruk keganasan yang tidak masuk akal,” kata pihak pendakwaan dalam hujah penjatuhan hukuman mereka.

Tiga tuduhan lain – berkaitan dengan kesalahan yang dilakukannya terhadap dua individu lain sebelum dan selepas serangannya ke atas Andrews –  turut diambil kira sewaktu penjatuhan hukuman.

Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim Mahkamah Tinggi Andre Maniam mempertimbangkan faktor usia mangsa serta kecenderungan Serajudeen untuk bertindak agresif apabila mabuk sebagai alasan untuk mengenakan hukuman lebih berat.

Pada masa kejadian, Serajudeen bekerja sebagai pengurus operasi di sebuah premis makanan dan minuman (F&B).

Dia mula minum sejurus menamatkan tugasnya pada kira-kira 10.30 pagi, pada 19 November 2024.

Selepas minum tiga hingga empat tin bir secara bersendirian, dia bertemu dua rakan untuk meminum wiski dalam jumlah yang banyak.

Rakan-rakannya membantu Serajudeen menempah kenderaan secara dalam talian untuknya pulang ke rumah.

Namun, dia menjadi berang, memaki pemandu berkenaan serta muntah di dalam kenderaan tersebut.

Apabila pemandu bertindak memberhentikan kenderaan di sepanjang Serangoon North Avenue 2 dan membatalkan perjalanan, Serajudeen menghamburkan kata-kata kesat, menendang pemandu itu, serta mengancam untuk memukulnya jika beliau menghubungi polis.

Dia kemudian beredar dan merayau-rayau di sekitar kawasan kedai di Blok 151 Serangoon North Avenue 2.

Di luar sebuah pasar raya, Serajudeen dan mangsa bertembung antara satu sama lain, sebelum warga emas berkenaan berhenti dan pusing untuk bercakap dengannya.

Kedua-dua lelaki itu kemudian meneruskan pertengkaran mereka di lorong belakang blok berkenaan.

Rakaman kamera papan pemuka sebuah kenderaan yang diletakkan di situ menunjukkan mangsa menudingkan jarinya ke muka Serajudeen, sebelum pesalah bertindak menumbuk kepala mangsa secara tiba-tiba dan menolaknya ke tanah.

Serajudeen terus menumbuk warga emas itu, menyebabkan kepalanya terhantuk berulang kali pada lantai konkrit.

Penyerang berkenaan kemudian memijak bahagian atas badan mangsa sebanyak lapan kali sebelum beredar dari tempat kejadian.

Dia ditangkap di rumahnya pada awal pagi keesokan harinya.

Pada 8 Oktober, peguam Serajudeen, Encik Quek Liuyong, berkata anak guamnya amat menyesali tindakannya yang menyebabkan kematian Andrews.

Meskipun akur mangsa merupakan seorang warga emas, Encik Quek berhujah bahawa tindakan mangsa sebelum itu menunjukkan beliau bersedia untuk bertengkar, justeru itu tidak tergolong dalam kategori mangsa yang paling rentan.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Tay Jia En menyanggah hujah bahawa tindakan mangsa mengurangkan tahap kerentanannya, serta menegaskan bahawa Serajudeen jauh lebih tinggi berbanding mangsa dan merupakan pihak pertama yang melepaskan tumbukan.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti