Usaha mengeluarkan bangkai kapal layar mewah, yang sebahagiannya karam selepas terbakar di Sentosa Cove, telah bermula.

Difahamkan sebahagian dek atas kapal tersebut telah pun berjaya dikeluarkan selepas operasi itu dimulakan pada 9 Julai.

Operasi untuk mengangkat badan utama kapal sedang dijalankan dan dijangka siap menjelang 20 Julai.

Kapal layar Ferretti EagleWings III berkenaan sedang berlabuh di ONE°15 Marina Sentosa Cove apabila ia terbakar pada pagi 7 Jun. 

Sebuah kapal layar mewah terbakar dan dengan pantas marak dijilat api di ONE°15 Marina Club, Sentosa Cove, pada pagi 7 Jun.
Sebuah kapal layar mewah terbakar dan dengan pantas marak dijilat api di ONE°15 Marina Club, Sentosa Cove, pada pagi 7 Jun. - Foto PEMBACA ST

Tiada kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan.

EagleWings III merupakan sebuah kapal layar milik EagleWings Yacht Charters, yang berada di bawah Kumpulan EagleWings dan diasaskan pada 2016 oleh adik-beradik, Encik Julian Theng dan Cik Lisa Theng.

Kapal ‘superyacht’ sepanjang 33.8 meter itu sebahagian besarnya tenggelam di marina berkenaan selepas kejadian kebakaran tersebut.

Dalam respons kepada pertanyaan The Straits Times (ST) pada 10 Julai, Pengurus Besar ONE°15 Marina Sentosa Cove, Encik Nick McLaughlin, berkata kerja-kerja membawa naik bangkai kapal itu sedang dijalankan secara berperingkat oleh kontraktor yang dilantik.

“Keselamatan dan perlindungan alam sekitar kekal menjadi keutamaan, dengan langkah kawalan serta pembendungan yang sewajarnya terus dikekalkan di lokasi berkenaan,” kata Encik McLaughlin.

Persiapan bagi kerja berkenaan telah bermula awal minggu ini.

Sejak kebakaran itu berlaku, air laut di sekeliling kapal tersebut – yang bertukar hitam akibat kejadian berkenaan – telah dirawat menggunakan bahan kimia setiap hari bagi menangani tumpahan minyak.

Ketika ST tiba di lokasi kejadian sekitar 9.10 pagi pada 10 Julai, sisa-sisa runtuhan yang hangus sedang diangkat keluar dari air menggunakan baj kren SSE Danakody, yang berlabuh di sebelah kapal layar itu.

Baj kren ialah sebuah kapal khusus yang dilengkapi kren untuk mengangkat bebanan berat.

Kapal tersebut merupakan sebahagian daripada armada syarikat penyedia perkhidmatan sokongan dan kecemasan maritim, Singapore Salvage Engineers, yang ditugaskan oleh EagleWings Yacht Charters untuk mengendalikan operasi menyelamat berkenaan.

Sebuah kapal sokongan lebih kecil, SSE Juls, pula kelihatan berlabuh di sebelah laluan pejalan kaki dermaga tersebut.

Beberapa penyelam juga dilihat sedang mengikat sisa runtuhan yang tenggelam pada tali yang disambungkan ke kren berkenaan.

Antara 9.10 pagi dengan 12.20 tengah hari, kren berkenaan dilihat mengangkat sisa runtuhan sebanyak tiga kali, termasuk sesuatu yang kelihatan seperti rangka logam yang telah hangus.

Tiga lapisan penghadang marin (marine boom) – iaitu penghadang terapung yang digunakan untuk membendung atau menyerap tumpahan minyak di air – kelihatan di sekeliling EagleWings III, yang berada dalam keadaan condong di dalam air.

Beberapa kapal layar di dermaga yang terjejas telah dipindahkan pada 6 Julai bagi memberi laluan kepada kerja-kerja membawa naik bangkai kapal, menurut seorang anak kapal yang bekerja di kapal layar berhampiran kepada ST.

Lelaki berkenaan, yang ingin identitinya dirahsiakan, berkata beliau melihat SSE Danakody memasuki marina tersebut sekitar 2.45 petang pada 8 Julai.

Apabila dihubungi, Singapore Salvage Engineers meminta ST merujuk pertanyaan mereka kepada firma perunding maritim, ALC Consulting – yang enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, EagleWings Yacht Charters tidak membalas pertanyaan melalui e-mel yang dihantar pada 8 Jun dan 10 Julai.