Sebahagian besar daripada 230 majikan yang disiasat atas kesalahan berkaitan penyalahgunaan skim Pas Latihan Pekerjaan (TEP) antara 2023 dengan 2024 berasal daripada sektor perkhidmatan.
Hampir separuh daripada mereka berdepan tindakan penguatkuasaan, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam respons kepada pertanyaan The Business Times (BT) pada 9 Oktober.
Hukuman terhadap 100 majikan yang terlibat bermula daripada amaran kepada pendakwaan.
MOM berkata demikian susulan kenyataan Anggota Parlimen (AP), Cik Elysa Chen (GRC Bishan-Toa Payoh), yang membangkitkan isu tersebut di Parlimen pada 26 September.
Dalam respons kepada Cik Chen, MOM berkata siasatan turut melibatkan 520 pemegang TEP.
Skim TEP – yang menerima 15,600 permohonan pada 2023 dan 16,500 pada 2024 – membolehkan majikan memberi peluang kepada pelajar asing dan pelatih korporat dalam negara untuk menjalani latihan praktikal di Singapura selama tempoh maksimum tiga bulan.
Namun, skim itu mendapat perhatian selepas laporan media tempatan pada Jun mendedahkan beberapa syarikat menyalahgunakan permit yang tidak boleh diperbaharui untuk membawa masuk pekerja asing secara haram, contohnya sebagai pencuci pinggan.
Sumber industri memaklumkan skim itu terdedah kepada penyalahgunaan kerana ia tidak mengenakan levi atau kuota terhadap pekerja, berbeza dengan permit kerja atau Pas S yang ditujukan untuk pekerjaan yang memerlukan kemahiran rendah atau separa mahir.
Menurut MOM, ia telah menemui kes apabila pekerja dijanjikan pembaharuan TEP mereka selepas tamat tempoh sah, manakala yang lain pula telah diperdaya mengenai terma pekerjaan utama seperti gaji dan tempoh pekerjaan.
Sebagai langkah berjaga-jaga, MOM menasihatkan pekerja supaya menyemak dengan teliti surat kelulusan prinsip mereka, yang menyatakan secara jelas gaji, pekerjaan dan tempoh pekerjaan yang diluluskan di bawah TEP.
Pekerja yang terjejas boleh menghubungi MOM untuk bantuan lanjut, tambah kementerian itu.
Menurut MOM, ia telah mengeluarkan nasihat untuk mendidik majikan tentang penggunaan yang betul bagi skim TEP, serta menjalankan pemeriksaan tambahan ke atas permohonan yang dipilih.
Ia termasuk permintaan bagi bukti program latihan dan hubungan dengan pejabat atau anak syarikat asing.
MOM juga telah melancarkan beberapa operasi penguatkuasaan untuk membendung penyalahgunaan skim itu, dan memberi amaran bahawa membuat pengisytiharan palsu adalah kesalahan serius.
Majikan yang didapati bersalah menyalahgunakan skim itu boleh didenda sehingga $20,000, dipenjarakan sehingga dua tahun, atau kedua-duanya.
Mereka juga boleh kehilangan keistimewaan pas kerja mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg