Pelawat yang ingin memandu kereta untuk ke Malaysia mungkin perlu mengambil masa sehingga tiga jam untuk melepasi pemeriksaan imigresen.
Oleh itu, mereka harus mengambil kira masa tambahan untuk ke negara jiran.
Demikian menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam satu kenyataan pada 19 Disember.
ICA berkata, ia menjangka pergerakan trafik yang amat sesak di kedua-dua pusat pemeriksaan darat di Woodlands dan Tuas sehingga akhir tahun ini disebabkan cuti panjang hujung minggu sempena Krismas dan Tahun Baru yang menjelang tiba.
Malah, sebelum cuti panjang hujung minggu itu, aliran trafik di kedua-dua pusat pemeriksaan itu sudah pun melebihi paras trafik sebelum pandemik Covid-19.
Pada hujung minggu 15 hingga 17 Disember, lebih 1.3 juta pelawat merentasi kedua-dua pusat pemeriksaan itu, iaitu hampir 435,000 lintasan setiap hari.
Ini merupakan kenaikan hampir 30,000 pelawat berbanding tempoh sama pada 2019.
ICA menambah ia juga meningkatkan langkah keselamatan di pusat pemeriksaan ekoran konflik di Timur Tengah.
Sebelum memulakan perjalanan, pemandu dinasihatkan memeriksa keadaan trafik di kedua-dua pusat pemeriksaan di laman sesawang OneMotoring milik Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), atau Sistem Pengawasan dan Maklumat Ekspreswe (Emas) yang dipasang di Ekspreswe Bukit Timah (BKE) dan Ekspreswe Ayer Rajah (AYE).
Maklumat terkini mengenai keadaan trafik akan disiarkan di akaun Facebook dan akaun X ICA, serta di stesen radio tempatan.
ICA meminta pemandu bersabar, mematuhi peraturan jalan raya, menjaga disiplin lorong dan bekerjasama dengan anggota bertugas di lokasi.
“Pemandu yang didapati bersalah memotong jalan akan diarah untuk berpatah balik dan beratur semula,” katanya.
Mereka yang memandu kereta yang berdaftar di Singapura untuk menuju ke Malaysia harus mematuhi peraturan minyak “tiga suku tangki”.
Jika gagal berbuat demikian, mereka boleh didenda S$500 atau didakwa di mahkamah dan turut tidak dibenarkan meneruskan perjalanan ke Malaysia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg