Pembantu rumah atau pekerja migran asal Indonesia yang berhasrat mengerjakan ibadah umrah kini boleh melaksanakannya dengan lapang dada.
Syarikat pelancongan yang baru diasaskan, POS TKI Travel & Tours Pte Ltd, kini menyediakan kemudahan tersebut pada harga pakej yang berpatutan.
Menurut Pengarah Urusan POS TKI Travel & Tours, Encik Mohamed Anwar Tahar, firmanya yang pertama menyediakan pakej sedemikian, khas untuk pekerja migran di negara ini.
“Buat julung-julung kalinya di Singapura, sebuah syarikat pelancongan menyediakan pakej umrah untuk pembantu rumah warga Indonesia yang bekerja di negara ini.
“Keberangkatan perdana ke Makkah dan Madinah akan berlangsung dari 28 November hingga 7 Disember 2024 ini,” jelas Encik Anwar.
Dengan tawaran ibadah umrah selama 10 hari itu, pakej yang disediakan berharga hanya $3,290.
Menurut Pengurus Besar, POS TKI Travel & Tours, Cik Roziana Ibrahim, harga tersebut jauh lebih rendah berbanding harga pakej yang ditawarkan buat pelanggan umum, yang rata-rata bernilai antara $4,450 dengan $4,850.
“Perbezaan utama bagi pakej pembantu rumah warga Indonesia dan pakej umum adalah tempat penginapan, dengan pembantu migran akan tinggal di hotel empat bintang berbanding jemaah umum yang mampu menginap di hotel lima bintang. Tetapi, hotel yang kami sediakan juga tidak jauh dari kawasan Kaabah iaitu hanya perlu berjalan sekitar tujuh minit sahaja,” ujar Cik Roziana.
Cik Roziana menjelaskan, pakej tersebut merangkumi tiket penerbangan dua hala, visa, bas berhawa dingin untuk ziarah di Makkah dan Madinah. Selain itu, khidmat mutawif dan pegawai yang berpengalaman, buku panduan lengkap, telekung dan beg bagasi serta kelas manasik turut diadakan.
Syarikat itu juga menyelenggarakan secara percuma dua jenis vaksin; perubatan asas seperti ubat parasetamol, flu, sakit tekak, cirit-birit serta mendapatkan nasihat dalam talian daripada klinik Myclnq Health.
Beliau berkata sambutan yang diterima untuk pakej umrah pada November ini sangat menggalakkan, dengan hampir 80 peratus tempahan sudah dibuat. Syarikat tersebut merancang membawa seramai 30 jemaah bagi pakej tersebut.
“Syarikat kami memberi ruang kepada pekerja migran membuat tempahan bagi pakej umrah itu, dengan membuat bayaran pada setiap bulan.
“Namun, kami juga mendapat tempahan daripada majikan mereka. Ada juga tempahan, dengan majikan membayar sebahagian harga (pakej umrah tersebut) untuk pembantu mereka,” jelas Cik Roziana.
Cik Roziana menerima pelbagai cabaran menyediakan pakej umrah ini, dan dengan minda terbuka beliau yakin pekerja migran juga harus diberi peluang yang sama untuk mengerjakan ibadah umrah.
“Sejujurnya, saya menghadapi pelbagai cabaran apabila merancang pakej umrah ini kerana saya perlu bekerjasama dengan banyak pihak termasuk pihak kedutaan, syarikat penerbangan dan hotel.
“Tetapi, saya sudah lama berpegang pada prinsip bahawa tiada perbezaan antara manusia, kecuali pekerjaan masing-masing dan pakej umrah ini bak satu hadiah daripada Allah swt kepada mereka yang sudah bekerja bertungkus lumus di Singapura,” tambah Cik Roziana.
Memandang ke depan, Cik Roziana mengalu-alukan pekerja migran beragama Islam yang berhasrat mengerjakan umrah agar mendaftar bersama syarikatnya.
• Kunjungi pejabat POS TKI Travel & Tours Pte Ltd di No. 1 Kaki Bukit Road, #03-50, Singapura 415934.
• WhatsApp ke talian 8082-0098, atau hubungi pejabat di talian 6547-1002 untuk maklumat lanjut.
• Maklumat terkini juga boleh diperolehi melalui laman sosial Facebook @postkitravel dan Instagram @postkitravelntours.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg