Ruang dingin akan dibuka kepada orang ramai agar mereka dapat berlindung daripada cuaca panas apabila ramalan gelombang haba dikeluarkan, sebagai sebahagian daripada pelan negara untuk membantu rakyat Singapura mengatasi keadaan suhu yang semakin meningkat.
Ruang ini – sebahagiannya dilengkapi dengan alat hawa dingin – akan disediakan di serata negara.
Ia mungkin terletak di kelab masyarakat (CC), pusat jawatankuasa penduduk (RC) dan dewan sukan tertutup.
Butiran mengenai jumlah stesen ini belum diumumkan, lapor The Straits Times (ST).
Stesen pendinginan atau cooling stations ini adalah sebahagian daripada pelbagai langkah respons haba yang dirumuskan oleh sebuah pasukan baru terdiri daripada lebih 30 agensi dan kementerian pemerintah, dikenali sebagai Pasukan Bertindak Merkuri yang diumumkan kepada media pada 19 Mac.
Antara yang terlibat adalah Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Sebelum ini, pemerintah telah mengeluarkan langkah perlindungan untuk golongan yang terdedah kepada matahari – seperti pekerja binaan – daripada penyakit berkaitan haba semasa tempoh tekanan haba tinggi.
Antaranya, semasa tempoh tekanan haba tinggi, pekerja yang terlibat dalam kerja fizikal berat perlu diberi rehat sekurang-kurangnya 10 minit di tempat teduh setiap jam.
Namun, pelan baru ini merumuskan pendekatan negara mengenai cara sektor-sektor berbeza perlu bertindak apabila gelombang haba dijangka berlaku. Ia juga menggariskan langkah tambahan yang boleh diambil golongan rentan untuk melindungi diri mereka daripada suhu yang semakin meningkat.
Gelombang haba di Singapura diumumkan apabila suhu tertinggi harian selama tiga hari berturut-turut mencapai sekurang-kurangnya 35 darjah Celsius, dengan suhu purata setiap hari sekurang-kurangnya 29 darjah Celsius.
Tempoh tekanan haba tinggi tetap boleh berlaku tanpa gelombang haba.
Apabila ramalan Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) menunjukkan kemungkinan tinggi berlaku gelombang haba di Singapura, nasihat media bersama mengenai suhu tinggi akan dikeluarkan, menurut pasukan bertindak itu.
Nasihat ini – yang menggariskan langkah tindak balas haba tambahan untuk sektor-sektor tertentu, seperti prasekolah dan hospital – akan berkuat kuasa sehingga MSS meramalkan suhu tinggi akan reda.
Langkah ini termasuk menasihati orang ramai supaya mengehadkan aktiviti luar dari 11 pagi hingga 4 petang, kerana tekanan haba yang tinggi dalam tempoh tersebut.
Prasekolah dinasihatkan supaya mengelakkan aktiviti luar dalam tempoh tersebut, manakala sekolah antaranya perlu menyesuaikan aktiviti luar mengikut keadaan.
Pelan respons haba ini dikeluarkan menjelang musim paling panas, biasanya antara Mac dan Mei.
Pada 2024, negara ini mencatatkan 21 hari tekanan haba tinggi, kebanyakannya dalam tempoh musim paling panas itu.
Walaupun gelombang haba sebelum ini berlaku selepas tempoh El Nino, yang membawa cuaca lebih kering dan panas ke Singapura, pasukan bertindak itu berkata keadaan La Nina yang dihadapi Singapura sekarang menjadikan gelombang haba berkemungkinan tidak berlaku menjelang musim itu.
Ini kerana ia biasanya membawa cuaca lebih dingin dan basah ke rantau ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg