Topik diikuti
Pergi ke BHkuSee Leng: Lakuran nuklear boleh cipta peluang ekonomi bagi S’pura
See Leng: Lakuran nuklear boleh cipta peluang ekonomi bagi S’pura
Langkah memanfaatkan proses pelakuran nuklear atau nuclear fusion bagi penjanaan tenaga mungkin mengambil masa beberapa tahun lagi, namun Singapura berada pada kedudukan baik untuk merebut peluang ekonomi dalam bidang berkenaan, kata Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan), Dr Tan See Leng, pada 1 Oktober.
Bercakap pada majlis pembukaan persidangan pelakuran nuklear FusionX:Apac yang dianjurkan di Biopolis, beliau menyorot bagaimana ekosistem pelakuran diunjurkan mencapai nilai AS$419.84 bilion ($535 bilion) menjelang akhir dekad ini.
Persidangan tiga hari anjuran pelabur tekonologi mendalam yang disokong pemerintah, SGInnovate, menghimpunkan syarikat pelakuran global, penyelidik dan pelabur untuk meneliti peluang serta cabaran dalam bidang yang baru muncul ini.
“Negara seperti Singapura yang tidak mempunyai reaktor lakuran sendiri juga boleh memanfaatkan bakat, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta keupayaan industri kita untuk menyokong ekonomi pelakuran yang lebih luas,” kata Dr Tan.
Buat masa ini, loji tenaga nuklear komersial menjana elektrik dengan memanfaatkan proses pembelahan atau fission iaitu keadaan di mana nukleus atom uranium terbelah.
Pelakuran nuklear pula merujuk kepada tindak balas yang menghasilkan tenaga apabila zarah hidrogen bercantum atau dilakur bersama.
Dr Tan berkata beliau rasa terdorong dengan perkembangan reaktor lakuran yang telah menghasilkan lebih banyak tenaga di dalam persekitaran eksperimen.
Kebanyakan eksperimen lazimnya memerlukan lebih banyak tenaga untuk menghasilkan tindak balas.
Pada 2022, Kemudahan Penyalaan Nasional (NIF) di California menggunakan 2.05 megajoule tenaga untuk menghasilkan tindak balas pelakuran yang menghasilkan 3.15 megajoule tenaga.
“Kemajuan teknikal dalam pelakuran ini disambut dengan minat komersial yang semakin meningkat, serta aliran pelaburan besar ke dalam syarikat tenaga pelakuran,” katanya.
Pelakuran menggunakan proses sama yang berlaku di matahari, dan ia lebih mencabar untuk ditiru di Bumi kerana tindak balas perlu berlaku pada suhu 100 juta darjah Celsius atau lebih – beberapa kali ganda lebih panas daripada matahari.
Namun, ia merupakan pilihan yang menarik dalam sektor tenaga kerana proses pelakuran mempunyai risiko tindak balas berantai luar kawalan atau peleburan (meltdown) lebih rendah, di samping tidak melepaskan karbon yang memanaskan bumi.
Dr Tan berkata Singapura mempunyai banyak kelebihan yang boleh disumbangkan kepada ekonomi pelakuran global.
Antaranya, negara ini telah membina kepakaran dan bakat dalam bidang berkaitan pelakuran, seperti kejuruteraan jitu dan perkilangan maju.
Ekosistem teknologi Singapura yang dinamik, yang menghimpunkan penyelidikan, industri, bakat dan modal, juga amat penting bagi teknologi yang baru muncul seperti pelakuran, kata Dr Tan.
“Tindakan mengubah penemuan sains kepada peluang komersial memerlukan bukan sahaja kepakaran teknikal, malah modal jangka panjang serta perkongsian industri yang kukuh,” tambahnya.
Mengenai potensi penggunaan tenaga pelakuran nuklear di Singapura, Dr Tan berkata perkembangan global telah memberikan dorongan baharu kepada negara ini untuk menerokai setiap pilihan yang ada dalam proses peralihan tenaganya.
Singapura belum membuat keputusan sama ada ia akan memanfaatkan tenaga nuklear, namun sedang melangkah maju dalam meneliti proses pembelahan nuklear secara terperinci.
Negara ini akan menjalani penilaian pada 2027 oleh badan pemerhati atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), bagi menentukan keupayaan negara ini dalam membuat keputusan termaklum berhubung penggunaan tenaga nuklear.