Topik diikuti
Pergi ke BHkuMTI diberi nama baharu Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan mulai 1 Okt
MTI diberi nama baharu Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan mulai 1 Okt
Petukaran nama kepada Meti cerminkan tumpuan semakin meningkat terhadap hal ehwal tenaga
MTI diberi nama baharu Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan mulai 1 Okt
Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) akan ditukar nama kepada Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Meti) berkuat kuasa 1 Oktober, umum Pejabat Perdana Menteri (PMO).
“Nama baharu itu mencerminkan tumpuan yang semakin meningkat terhadap hal ehwal tenaga, yang amat penting bagi daya saing ekonomi dan masa depan Singapura,” kata PMO dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 22 Julai.
Langkah itu perlu dan wajar buat masa ini, jelas Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang turut menambah bahawa pemerintah tidak menolak kemungkinan untuk mewujudkan kementerian tenaga yang berasingan pada masa hadapan.
Namun pada ketika ini, peranan sektor tenaga masih belum stabil tanpa petunjuk yang jelas mengenai perkembangannya pada masa hadapan, ujar Encik Wong semasa pengumuman rombakan Kabinet pada 22 Julai.
Menjawab pertanyaan mengenai pemisahan kementerian tenaga seperti yang dilakukan di negara lain, Encik Wong berkata:
“... saya tidak menolak kemungkinan itu pada masa hadapan. Pada ketika ini, peranan dan tugas berkaitan tenaga masih lagi berkembang.
“Ia belum stabil, dan belum jelas bagaimana ia akan berkembang dalam tempoh beberapa tahun akan datang, bergantung kepada keputusan yang kita buat dan kajian kebolehlaksanaan yang sedang kita jalankan.”
Di samping itu, Encik Wong berkata tenaga akan terus menjadi cabaran nasional bagi Singapura.
Namun, beliau menjelaskan ia “bukan masalah tenaga semata-mata kerana kita boleh mendapatkan tenaga melalui bahan api fosil, tetapi tenaga bersih yang akan menjadi cabaran besar buat kita”.
Bagaimana Singapura boleh terus membekalkan tenaga untuk keperluannya sambil mencapai pelepasan sifar bersih merupakan tumpuan bagi pemerintah, tambah Encik Wong.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, MTI telah mengambil langkah penting bagi menjamin masa depan tenaga Singapura.
Antara lain, MTI telah membina terminal gas asli cecair (LNG) kedua dan memusatkan perolehan gas untuk sektor tenaga elektrik; meningkatkan usaha memperluas penggunaan tenaga suria di semua permukaan yang sesuai, termasuk bumbung bangunan dan kolam takungan.
MTI turut menjalin kerjasama baharu bagi mengimport tenaga elektrik rendah karbon daripada negara jiran Asean di samping mempelajari kebolehlaksanaan pelbagai teknologi tenaga rendah karbon, terutamanya tenaga nuklear.
Di samping itu, MTI juga telah melancarkan ‘Cabaran Utama Nyahkarbon’ atau Decarbonisation Grand Challenge bernilai $800 juta bagi membiayai kemajuan teknologi yang amat penting untuk proses nyahkarbon Singapura.